Sistem kesan daging halal import siap 2024

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang membangunkan sistem pengesanan produk daging halal import bagi mengatasi isu keselamatan sumber makanan negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata sistem berkenaan yang dibangunkan berasaskan teknologi rantaian blok (block-chain) dijangka siap pada tahun 2024.

- Advertisement -

“Pembangunan sistem tersebut mampu meningkatkan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap produk daging yang negara import.

“Usaha itu merupakan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) menerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional (MIMOS),” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, mengenai usaha MOSTI membantu memperkukuhkan sistem sekuriti makanan negara.

Menurut Ahmad Amzad, MOSTI juga sedang melaksanakan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan varieti benih padi tahan lasak.

Usaha itu, katanya dijalankan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Sehingga kini, katanya sebanyak 27 daripada 46 penyelesaian teknologi dikenal pasti MOSTI, tersedia untuk dilaksanakan segera bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -