
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan berkuat kuasa 1 April ini.
Pengarahnya Dato’ Mohd Ajib Ismail berkata, ahli-ahli jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.
Manakala katanya, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur bagi mereka yang telah menerima vaksinasi Covid-19.
“Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada Ramadan ini. Program qiamullail hyga dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.
“Begitu juga majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan diadakan di masjid dan surau. Makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus,” katanya pada kenyataan hari ini.
Baur-baru ini Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.
Bagaimanapun katanya pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid, surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Mohd Ajib juga berkata, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.
Kata beliau juga kebenaran tersebut tertakluk kepada SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. – HARAKAHDAILY 17/3/2022




















