
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,170 buah rumah di Sik dan Gurun, Kedah, bakal mendapat bekalan air bersih dan terawat melalui pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jeniang Baru di Sik, membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM84 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Hasbi Habibollah, berkata projek itu yang kini di peringkat reka bentuk terperinci oleh perunding diluluskan oleh kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun 2021.
Katanya, projek itu turut melibatkan naik taraf dan pembinaan baharu tangki simpanan daripada 35 MLB kepada 60 MLB, tangki sedutan dan rumah pam berdasarkan keperluan serta skop yang telah diluluskan.
“Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Retikulasi Negeri Kedah tahun 2019 dengan kos keseluruhan RM9.5 juta telah siap reka bentuk dan dokumentasi tender dan dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini.
“Ini melibatkan enam buah kampung di Parlimen Sik, iaitu Kampung Tanah Lot Sungai Pau, Kampung Tupai Dalam, Kampung Bendang Man Lorong Felcra, Kampung Batu 50 Telaga Batu, Kampung Tanah Hitam dan Kampung Kuala Beris,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Tarmizi meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan langkah mempertingkatkan bekalan air bersih kepada penduduk di luar bandar, terutama di daerah Sik melalui bekalan air terawat oleh penyedia bekalan air serta pembangunan infrastruktur bekalan air alternatif seperti air bukit, telaga tiub dan sumber lain.
Hasbi berkata, projek BALB Sistem Retikulasi Negeri Kedah tahun 2021 dengan kos keseluruhan RM26.3 juta akan siap reka bentuk terperinci pada suku ketiga tahun ini dan dijangka dimulakan pada awal tahun 2023, melibatkan tiga kampung di Parlimen Sik, iaitu Kampung Cheruk Tenang, Kampung Gulau dan Kampung Surau.
Bagi permohonan projek baharu RP3 tahun 2023, katanya sebanyak dua projek dikemukakan oleh kerajaan Kedah bagi Parlimen Sik.
Namun begitu, katanya pertimbangan dan kelulusan projek baharu tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa kerajaan pada Bajet 2023.
“Projek Bekalan Air Alternatif Luar Bandar di bawah kementerian ini juga dilaksanakan bagi kawasan yang tidak ekonomik bagi sistem retikulasi.
“Projek ini dipertimbang melalui permohonan daripada komuniti dan penduduk kampung yang bersetuju bagi menyelenggara bekalan air secara alternatif ini untuk operasi dan manfaat penduduk,” katanya.
Pada tahun 2021, katanya projek alternatif daerah Sik telah dilaksanakan melibatkan kos keseluruhan RM2.14 juta di lima kampung, iaitu Kampung Bukit Hangus, Kampung Lubuk Besar, Kampung Hujung Bandar, Kampung Batu Besar dan Kampung Charok Tok Uban.
Pada tahun ini, katanya sebanyak satu permohonan dari Kampung Melaka/Landai, Mukim Sok telah diterima dengan anggaran kos RM500,000 dan projek ini adalah dalam proses perolehan secara sebut harga. – HARAKAHDAILY 17/3/2022




















