Ada ahli sanggup jual getah sekerap isi tabung PAS

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS bukan sekadar sebuah pertubuhan politik semata-mata, sebaliknya mampu mentarbiah ahli dan penyokong mengenali susur galur gerakan Islam dan dakwah.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ada ahli PAS di Sik sanggup menjual getah sekerap di mana dua keping untuk PAS dan dua keping lagi bagi keperluan keluarga.

Begitu juga penduduk yang menanam padi sebahagiannya disumbang untuk PAS.

- Advertisement -

“Depa (mereka) tak dapat apa. Tak jadi wakil rakyat, tak jadi pemimpin tetapi apa saja keputusan pemimpin depa patuh dan ikut,” katanya di sini semalam.

Menurutnya juga jatuh bangun dalam perjuangan kadang-kadang ada pemimpin yang menganggap dia pandai sehingga tidak mahu mematuhi keputusan yang dibuat secara kolektif.

Katanya individu terbabit akhirnya mengambil jalan sendiri dengan meninggalkan perjuangan biar pun sudah lama bersama PAS.

Sanusi berkata, andaian pihak tertentu, PAS sekarang dianggap melanggar dasar parti kerana turut terbabit dengan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak berasas.

Kata beliau penubuhan PN berbeza dengan Muafakat Nasional (MN) yang sememangnya perlu melalui perbagai proses berikutan pertembungan politik antara PAS dan Umno dalam tempoh begitu panjang.

“Begitu juga nak tubuh PN bukan sesuatu yang mudah. Lagi pun sebelum ini PAS dan Umno bersetuju Bersatu diajak bersama MN dan ada surat bukti mengenainya tapi segelintir pemimpin Umno akhirnya menolak,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kedah.

Beliau juga berkata, sekiranya seseorang pemimpin atau ahli tidak melalui proses tarbiah mereka sukar untuk memahami politik dakwah yang dibawa PAS.

“Walaupun saya tidak pandai, tetapi bab disiplin kena serius dan akur. Tidak semestinya ada Phd baru seseorang itu faham semuanya. Ramai orang Sik hanya baca boleh jawi tetapi kekal dalam PAS sampai mati.

“Ramai yang tinggakkan PAS sebelum ini termasuk bekas Yang Dipertua Agungnya. Kalau ikutkan jasa, ramai yang membuat jasa kepada PAS,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/3/2022

- Advertisement -