
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kerajaan akan mengenal pasti pihak yang terlibat dalam dua kes membabitkan penderaan bayi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Seri Rina Harun berkata, tindakan itu bagi tujuan sama ada untuk memberi kaunseling berdasarkan status atau tahap yang diperlukan.
Katanya KPWKM akan mengenal pasti pihak yang terlibat dan mengambil tindakan kerana setiap kes situasi agak berbeza.
“KPWKM memandang serius terhadap kes melibatkan penderaan terutamanya ke atas bayi dan kanak-kanak. Tindakan segera akan diambil ke atas mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis terima tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan kerana dipercayai mendera sehingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia setahun 11 bulan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dilapor berkata, wanita berusia 33 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada hari sama.
Selain itu, turut tular di media sosial seorang pengasuh wanita berusia 50-an menampar bahagian muka seorang bayi secara bertalu-talu pada kejadian di flat Taman Utama, Gelugor, Pulau Pinang.
Posting yang dimuatnaik pengguna Twitter @cocoandbrownie sejak Selasa lalu itu mendapat lebih 40,000 tontonan, sekaligus membangkitkan kemarahan netizen. – HARAKAHDAILY 17/3/2022











