Muhyiddin teruja sokongan masyarakat Cina kepada PN

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional.

Katanya, sokongan itu pada dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di sini, malam semalam.

Menrutunya, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir pada majlis tersebut.

- Advertisement -

“Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19,” ujarnya menerusi laman sosial beliau.

Ini, jelasnya termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Saya juga tegaskan komitmen Perikatan Nasional untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri ini, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor,” katanya lagi.

Beliau juga menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

Menurutnya, hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

“Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, ada seorang tetamu yang hadir bertanya beliau apa jaminan Perikatan Nasional akan berlaku adil kepada semua kaum.

“Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion. Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” jelasnya.

Muhyiddin menegaskan, prinsip Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya. Ini komitmen saya dan PN,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 6/3/2022

- Advertisement -