KPT usaha lonjakkan universiti awam negara ke persada dunia

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan lima universiti awam tertua di Malaysia berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Seri Noraini Ahmad, berkata antara tindakan yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan bilangan penyelidikan berimpak tinggi dan sitasi.

“Universiti juga perlu menambah pengambilan staf akademik berstatus pasca-doktoral yang dapat membantu meningkatkan skor bagi indikator reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, pensyarah antarabangsa dan pelajar antarabangsa.

“Mengekalkan profesor bereputasi tinggi, terutama dalam bidang kritikal melalui pelantikan semula atau melanjutkan kontrak bagi profesor yang bersara,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara, hari ini.

Dr Wan Martina meminta KPT menyatakan tindakan untuk meletakan lima buah universiti awam tertua di Malaysia berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Mengikut laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022 pada 9 Jun 2021, semua lima universiti penyelidikan Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia.

Noraini berkata, universiti juga perlu meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa melalui promosi dan hebahan yang bersesuaian dalam tempoh pasca pandemik Covid-19 dan memperkasakan lima universiti awam yang berpotensi tinggi dalam penyelidikan dan inovasi berdasarkan penilaian MyRA untuk dijadikan Rakan Universiti Penyelidikan.

Menurutnya, UM disenaraikan dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia di tempat ke-65 dengan kedudukan itu dicapai sejak 2018, iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran, malah berjaya mengekalkan kedudukan setiap tahun sehingga kini.

“Kedudukan empat universiti penyelidikan lain pula ialah UPM di tangga ke-143 (132 pada 2021), UKM di tangga ke-144 (141 pada 2021), USM di tangga ke-147 (142 pada 2021) dan UTM di tangga ke-191(187 pada 2021),” katanya.

Bagi menyokong usaha ini, KPT secara berterusan mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Program Pengukuhan Dan Pemerkasaan Universiti Penyelidikan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -