Tuntut kementerian segera baik pulih infrastruktur di Setiu

- Advertisement -

PADA sesi Perbahasan Titah Diraja kali ini, saya telah membangkitkan isu berkenaan pembangunan infrastruktur berkaitan dengan pendaratan ikan serta pertanian yang sememangnya menjadi keperluan asas bagi pembangunan mapan rakyat Setiu.

Tuntutan ini perlu segera mendapat perhatian pihak kementerian kerana Setiu merupakan satu-satunya daerah di persisiran pantai Negeri Terengganu yang tidak mempunyai jeti pendaratan ikan sedangkan kedudukan muara Sungai Merang sangat hampir dengan kawasan pembiakan dan tangkapan ikan sekali gus menyumbang kepada hasil ikan yang sangat banyak.

- Advertisement -

Selain itu, kekurangan infrastruktur asas untuk pertanian seperti jalan masuk, jalan ladang dan sistem pengairan, di kawasan tanah yang telah dirizabkan seluas 5,200 ekar juga menyebabkan berlakunya pembaziran sumber.

Tambahan pula, sistem pengairan padi yang tidak sempurna turut memberi kesan kepada pengeluaran hasil padi yang sepatutnya mampu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL).

Justeru, saya sekali lagi memohon agar pihak kementerian mengambil tindakan serius ke atas semua tuntutan yang telah dibangkitkan. Hal ini bagi meningkatkan lagi sosio-ekonomi rakyat Setiu sekali gus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -