Pemuda PAS kecam ahli akademik AS pro-Zionis

Hafez Sabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengecam tindakan seorang ahli akademik pro-Zionis yang telah mengeluarkan kenyataan biadab dan kurang ajar serta menghina pendirian Malaysia kerana teguh di belakang Palestin.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri berkata, ahli akademik daripada Amerika Syarikat tersebut didapati dijemput oleh sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terkemuka tempatan bagi sesi perkongsian berkenaan kajian metodologi untuk pelajar Doktor Falsafah (PhD).

- Advertisement -

“Namun demikian telah bertindak luar batasan dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak berkaitan dengan objektif asal slot yang diberikan.

“Dia telah menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang cuba mengerjakan holokaus kedua terhadap orang Yahudi serta tidak akan maju selagi mana berpendirian sedemikian.

“Hasil carian ringkas di media sosial akan terus mendapati bahawa ahli akademik ini secara jelas tidak segan silu menzahirkan pendirian dia yang pro kepada negara pengganas Zionis.

“Kenyataan yang dikeluarkannya juga menggambarkan bahawa mereka mempunyai satu kerangka pemikiran yang bersalahan dengan realiti sebenar yang berlaku di bumi Gaza dan Palestin.

“Yang menjadi persoalan adalah, bagaimana individu pro-Zionis seperti ini boleh dijemput untuk membuat pengisian di IPTA terkemuka negara?

“Apakah sudah tiada individu lain yang layak memberikan pengisian untuk tajuk ini kepada para pelajar Malaysia,” tegas beliau yang juga ADUN Manjoi di dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda PAS Malaysia menurutnya, menegaskan bahawa isu ini bukanlah isu picisan, akan tetapi ia memberi cerminan terhadap sensitiviti kita dalam solidariti kita terhadap isu Palestin.

“Dalam pada itu, jika rakyat biasa lain tiada masalah untuk meneruskan boikot sebagai tanda solidariti terhadap Palestin, manakala pemimpin nombor satu negara terus tegas menolak jenayah yang dilakukan Zionis, maka seharusnya IPTA dalam negara turut sensitif dalam hal-hal sebegini.

“Pemuda PAS menggesa agar IPTA tersebut memastikan ahli akademik itu mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi atas perbuatan kurang ajarnya yang mempertikai prinsip dan polisi negara Malaysia yang dibina atas dasar moral dan kemanusiaan.

“Mana-mana ahli akademik atau individu yang secara lantang dan agresif bersama Zionis juga wajar disenarai hitamkan daripada sebarang program rasmi di institusi pendidikan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -