Setiu mohon kerajaan naik taraf infrastuktur pertanian

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan dimohon menaik taraf infrastuktur pertanian di Parlimen Setiu bagi mempertingkatkan pegeluaran hasil pertanian rakyatnya.

Menurut Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abd Kadir, daerah Setiu mempunyai 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan untuk tujuan pertanian.

- Advertisement -

Namun, katanya tanah tersebut sukar untuk dimajukan kerana ketiadaan infrastruktur asas seperti jalan masuk, jalan ladang dan sistem pengairan.

“Berkenaan perluasan Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (KETARA) Fasa 3, Setiu mempunyai lebih 1,000 hektar tanah sawah.

“Malangnya, disebabkan ketiadaan infrastuktur, rakyat Setiu tidak boleh memaksimumkan potensinya. Sistem pengairan padi yang tidak sempurna juga memberi kesan kepada pengeluaran,” katanya semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, Shaharizukirnain memohon kerajaan menyelesaikan isu air di Parlimennya yang berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, kedudukan berkalan air di Setiu dalam keadaan kritikal berikutan sebahagian kawasan tinggi atau di penghujung sistem agihan mengalami tekanan air rendah.

“Loji Rawatan Air Sungai Tong 1 dan Loji Rawatan Air Sungai Tong 2 pula sedang beroperasi pada kapasitu penuh.

“Sebelum ini, Syarikat Air Terengganu (SATU) telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pembangunan dan Luar Bandar (KPLB) untuk mengaktifkan semula Loji Rawatan Air Bukit Kemudu bagi mengatasi masalah ini dengan segera, namun sehingga kini tiada kelulusan bertulis diberikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -