Perang Israel-Iran dan propaganda media Barat

Anggota tentera berkawal di kemudahan nuklear kawasan Zardanjan di Isfahan, Iran.
- Advertisement -

SEBELUM ini dunia menanti respon Israel terhadap serangan dron Iran pada 13 April lalu. Namun, kebanyakan dron dan peluru berpandu Iran itu telah dipintas sebelum sampai ke Israel.

Dunia mengetahui serangan Iran itu merupakan tindak balas terhadap serangan udara Israel ke atas Damsyik yang memusnahkan bangunan lima tingkat kedutaan Iran di ibu negara Syria itu, mencabuli perjanjian antarabangsa yang memperuntukkan imuniti terhadap premis diplomatik.

- Advertisement -

Tindakan respon seterusnya di tangan Iran setelah dilaporkan Israel melakukan serangan ke bandaraya Isfahan pada awal pagi Jumaat, 19 April. Iran tidak mengiktiraf Israel dan kedua-dua negara dilihat terikat dengan perang bayangan selama bertahun-tahun. Kedua-dua pihak tidak lagi berselindung di sebalik proksi atau sekutu dengan melancarkan operasi ketenteraan secara terang-terangan.

AS telah mengumumkan tidak terlibat dengan sebarang tindakan ketenteraan yang diambil oleh Israel terhadap Iran. Walaupun sebelum itu, Presiden AS, Joe Biden, menjanjikan sokongan kepada Israel jika Iran bertindak balas terhadap serangan yang mengorbankan dua jeneral tentera Iran di Damsyik. Britain dan Jerman juga dilaporkan menasihati negara tersebut agar menahan diri daripada menyerang balas.

Isfahan adalah sebuah kawasan besar di tengah Iran yang merupakan lokasi infrastruktur ketenteraan Iran yang penting, termasuk pangkalan udara yang besar, kompleks pengeluaran peluru berpandu utama dan beberapa kemudahan nuklear. Iran sebelum ini mendakwa Israel bertanggungjawab di sebalik serangan sabotaj yang menyasarkan untuk menghapuskan program nuklearnya.

Terdapat dakwaan berlainan mengenai skala dan tahap kerosakan di wilayah Isfahan, dengan media negara Iran memperlekehkan laporan serangan Israel itu. Malah terdapat sumber yang menafikan sebarang serangan dan letupan yang tidak diketahui di mana lokasi kejadian.

Terdapat kemungkinan ia adalah propaganda beberapa media Barat tentang serangan ke atas Iran yang kononnya dilancarkan Israel. Stesen ABC News yang pertama kali melaporkan dengan memetik kenyataan pegawai kanan Washington lalu berita itu terus tersebar ke beberapa media Barat lain.

Namun tiada sebarang pengesahan dibuat dari pihak Israel mahu pun Iran tentang kejadian tersebut ketika ia mula heboh diperkatakan oleh banyak pihak. Apa yang berlaku ialah tumpuan dunia teralih dari serangan genosid berterusan di Gaza. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -