Muslimat PAS Sabah rayu sumbangan bantu mangsa banjir

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KOTA MARUDU:
Hujan lebat berterusan malam semalam telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan pantai barat Sabah.

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS negeri, Nur Izzati Yusof, apabila berlaku banjir terutama banjir lumpur, harta benda penduduk menjadi rosak, basah dan musnah.

- Advertisement -

Katanya, semasa banjir yang berlaku di Penampang baru-baru ini, bukan setakat harta benda musnah, tetapi banyak kereta boleh dikategorikan sebagai total lost kerana rosak teruk akibat banjir lumpur.

“Tidak semua kawasan di Sabah ada kemudahan air bersih sebagaimana air paip yang ada di rumah kita.

“Kebanyakan lokasi di Penampang, malah di daerah lain seperti Beaufort, Kundasang, Ranau, Telupid dan kawasan pedalaman lain masih menggunakan sumber air graviti daripada bukit jadi apabila berlakunya banjir, bekalan air bersih akan terputus,” ujarnya lagi

Menurutnya, mungkin ada yang berpendapat, bantuan air mineral dan bakul makanan tidak penting untuk mangsa banjir, tetapi bagi sukarelawan yang turun melihat sendiri keadaan kesan banjir, bekalan air untuk pembersihan, mandi, makan, minum dan berwuduk sangat penting.

“Bantuan banjir sebelum ini, kami bercadang mahu menyumbang satu rumah dua atau tiga karton air, tetapi disebabkan kekurangan dana, masalah pengangkutan dan kekurangan petugas untuk mengangkat air, maka kami terpaksa catu dan hadkan, satu rumah hanya satu karton air mineral sahaja.

“Kita semua mungkin tidak mampu menyumbang tenaga untuk membantu membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir, kita juga mungkin tidak mampu gantikan harta benda penduduk yang rosak, namun kita boleh bantu dari sudut lain iaitu dengan cara sama-sama menyumbang, sebarkan poster dan berdoa supaya dipermudahkan urusan penduduk,” ujarnya lagi.

Terdahulu, hujan yang berterusan sejak malam semalam telah mengakibatkan banjir kilat di sekitar kawasan Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Beaufort, Kudat dan Kota Belud.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 10025010041509 atas nama Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah dengan menyatakan rujukan sumbangan banjir Sabah. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -