Dewan Ulamak PAS terbuka terima pandangan, cadangan media

Ahmad Yahya (duduk, tengah) dan Asri Daud (duduk, kiri) dalam Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa 2024 di Kuala Lumpur pada malam tadi, 30 Mac 2024 (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) sangat terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan cadangan daripada pihak media bagi mendapatkan sumber-sumber yang sahih.

Ketua Penerangan DUPP, Ustaz Asri Daud berkata, pihaknya telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama media pada tahun ini bermatlamat untuk menjalinkan hubungan mesra dan mengikat tali silaturrahim.

“Matlamatnya adalah bagi memudahkan media dan PAS saling sentiasa (antara satu sama lain) melontarkan cadangan dan pandangan dalam apa-apa bentuk persoalan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa 2024 di Hotel Grand Barakah, Ampang pada malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua DUPP, Ustaz Dato’ Ahmad Yahya Saad yang berkata, pihak DUPP bersetuju majlis ini diadakan untuk berkongsi isu semasa dan menerangkan kepelbagaian pendirian daripada pihak PAS sendiri.

Antara pendirian PAS dalam menyingkap isu semasa daripada laporan pihak media adalah mengenai isu yang masih berlegar di media sosial iaitu kalimah Allah pada stoking yang dijual di salah satu serbaneka KK Mart yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Asri, semua pihak perlu menghormati perkara dalam perlembagaan bahawa Islam itu agama persekutuan.

“Perkara ini telah menimbulkan suasana yang tidak baik dan boleh berlaku persengketaan di kalangan masyarakat.

“Pihak kerajaan perlu bertegas dan perlu memberikan respons awal (berhubung titah) daripada Yang Dipertuan Agong. Ini menunjukkan keupayaan daripada pihak kerajaan dalam hal ini masih di tahap yang lemah.

“Kerajaan perlu difahamkan bahawa isu agama ini tidak boleh dimain-mainkan apatah lagi kalimah Allah diletakkan di tempat yang hina,” katanya.

Sementara Ahmad Yahya pula menyatakan, pendekatan PAS dalam isu kalimah Allah ini lebih lunak dengan meletakkan beban ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sedalam-dalamnya dan bertegas sekiranya ada tangan-tangan hitam yang sengaja mencetuskan punca-punca perbalahan kaum dan agama dalam negara kita.

“Apabila dilihat dalam ruangan media, keadaan menjadi panas dan suasana menjadi riuh rendah yang mengharapkan suatu tindak balas akan berlaku.

“Pihak kami lebih menjaga suasana dalam negara agar jangan berlaku perselisihan yang membawa kepada perpecahan. Ini kerana seruan lebih menjaga kesatuan dan mengambil suasana politik yang stabil.”

“Kami tegas dan tidak boleh terima mana-mana pihak menghina agama. Setiap perkara yang boleh mencetuskan masalah dalam negara seharusnya satu tindakan segera perlu dilakukan dan saya yakin isu itu tidak panjang dan seluruh rakyat tenang,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan pihak media yang hadir pada majlis itu, Ahmad Yahya seterusnya menyentuh isu tentang kalimah ‘kafir’ yang dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan di Parlimen.

“Isu ini bukan sesuatu yang boleh menjadi polemik yang boleh menimbulkan masalah besar kepada kita.

“Ini adalah sebahagian yang perlu diurus dalam mentadbir sebuah kerajaan dan negara yang berbilang kaum masyarakatnya dan berbilang kaum.”

“Pihak kami tidak pernah memutuskan memanggil kafir kepada orang bukan Islam, malah kami menyantuni mereka dan menjaga hak-hak berdasarkan urus tadbir dasar Islam bagi negeri-negeri yang dipegang oleh PAS,” hujah beliau.

Ahmad Yahya beramah mesra dengan pihak media yang hadir pada Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa 2024 anjuran DUPP.

Menurut Ahmad Yahya lagi, perkara ini diharapkan tidak ada unsur mengapi-apikan dalam kalangan masyarakat kerana Islam mengajar tentang kehidupan yang harmoni dan bertoleransi.

Beliau seterusnya menjawab persoalan daripada media mengenai status isu Pusat Asuhan Islam (PASTI) dengan menyatakan bahawa PASTI adalah salah satu aktivis di bawah PAS.

“Aktiviti PASTI adalah aktiviti parti. Tiada satu ketetapan untuk menentukan sekian jumlah gaji atau elaun yang dibayar. Kalau diberi pun lebih kepada saguhati,” jelas beliau.

Isu ini berbangkit, ujarnya, ialah apabila pihak Jabatan Tenaga Kerja menyerbu beberapa institusi PASTI sehingga mencetuskan suasana yang tidak selesa.

Beliau berkata, guru-guru PASTI ini merupakan sukarelawan parti dan tidak terikat dengan mana-mana jabatan dalam kerajaan.

“Pendekatan PAS dalam mengendalikan sesuatu isu atau perkara berbangkit lebih mengambil suasana politik yang stabil dan tenang.

“Kenyataan media yang dikeluarkan daripada pihak jawatankuasa PAS adalah mengikut profesioi yang berkaitan dengan sesuatu isu dan keadaan,” tegas beliau.

“Kami sangat menghargai kesediaan semua media dan menganggap pertemuan ini adalah pertemuan mesra untuk kita saling kenal mengenali antara satu sama lain agar hubungan baik ini mudah berbincang dalam mendapatkan ulasan dan maklumat perkembangan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -