Serangan bom api di KK Mart: Segera ambil tindakan tegas

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa semua pihak patuh kepada undang-undang dan mengharapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terperinci berhubung kes serangan bom api di pasaraya KK Mart di Bidor pada 26 Mac lalu dan Kuantan yang berlaku semalam.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, ia adalah bertujuan supaya pihak yang tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan memandangkan Islam tidak membenarkan sifat sebegitu.

- Advertisement -

“Islam tidak membenarkan sedikitpun tindakan berbentuk keganasan dan menyeru semua pihak bertenang serta menjunjung kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Janganlah kita membuka pintu untuk memilih jalan keganasan dalam menghadapi apa pun perkara sebegini,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut.

Beliau menyatakan PAS sangat konsisten dengan pendekatan bersifat muwajadah silmiyyah iaitu pendekatan politik secara aman dalam mengharungi apa jua isu yang berlaku dalam negara ini.

“PAS mengulangi pendirian menggesa supaya jangan ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, PAS mengulangi pendirian sebelum ini bertarikh 18 Mac 2024, supaya tindakan yang lebih tegas kepada pihak yang terlibat dalam isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di pasaraya KK Mart yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Ini adalah selari dengan titah Ke Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar pada 19 Mac 2024 agar tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya perlu dikenakan kepada pihak yang bertanggungjawab menyentuh sensitiviti umat Islam ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebelum ini, sebuah kedai serbaneka KK Mart yang baru beroperasi dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan, Pahang diserang dengan bom api atau ‘molotov cocktail’ menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -