Salur peruntukan kepada pembangkang secara adil, saksama

Mohd Zarimi Zih Al-Hafiz
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai peruntukan harus disalurkan kepada pembangkang secara adil dan saksama selaras dengan tuntutan wakil rakyat pembangkang.

- Advertisement -

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Mohd Zarimi Zih Al-Hafiz berkata, tular beberapa klip video yang memaparkan Sultan Pahang menitahkan agar pihak kerajaan menyalurkan peruntukan kepada pembangkang secara adil dan saksama.

Katanya, baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Baharu Alor Akar, Kuantan.

Tambahnya, baginda menitahkan peruntukan wajar diberikan kepada pembangkang untuk pembangkang salur dan agihkan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan yang mereka wakili.

“Ini jelas tuntutan yang pembangkang tuntut selama ini selaras dengan apa yang baginda Sultan Pahang titah dan harapkan.

“Peranan pembangkang perlu diiktiraf di Negeri Pahang ini agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zarimi berkata, Dewan Pemuda PAS negeri menuntut Menteri Besar untuk menjunjung titah Sultan Pahang sekali gus mengiktiraf peranan pembangkang dalam Dewan Negeri Pahang.

Katanya lagi, Menteri Besar dan juga barisan Exco serta wakil rakyat kerajaan perlu membuang sejauh-jauhnya politik lapuk dan dendam yang selama ini diamalkan lebih 60 tahun di negeri itu secara khususnya.

“Kami juga mengingatkan Menteri Besar Pahang dan seluruh exco dan wakil rakyat daripada pihak kerajaan agar memberi hak kepada pembangkang sebagai mana yang tertakluk dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembangkang dapat melaksanakan fungsi mereka sebagai wakil rakyat yang sah di kawasan yang mereka wakili.

“Ingatlah dengan keadaan disekat dan ditekan, wakil rakyat pembangkang di negeri Pahang terus berkhidmat kepada rakyat sementelah jika diberikan peruntukan secara adil dan saksama semestinya akan memberi manfaat yang baik buat rakyat secara khususnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -