Gangguan bekalan air pulih sebelum Aidilfitri – AKSB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku di Pasir Mas dan Tumpat akan pulih sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

- Advertisement -

Jabatan Korporat AKSB berkata, buat masa ini pihaknya sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah tersebut yang berlaku akibat fenomena El Nino dan kemarau yang melanda di negeri ini.

Katanya, antara usaha yang diambil ialah pemasangan pam tambahan di luar muka sauk, kerja pembersihan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar dan penyelenggaraan telaga jejari Semuba 1.

“Selain itu, kita turut mendapatkan bantuan khidmat lori tangki daripada rakan operator jika keadaan kritikal ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 10 lori tangki juga telah diatur gerak di jajahan Pasir Mas serta 33 buah tangki statik manakala tiga lori tangki turut diatur gerak di jajahan Tumpat.

“Fenomena El Nino dan kemarau menyebabkan paras air sungai di muka sauk Loji Rawatan Air  Kelar berada pada paras 0 meter sekali gus memberi kesan kepada 48,635 akaun pengguna di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Bagaimanapun tambahnya, jumlah keseluruhan akaun yang mendapat bekalan air dari LRA Kelar sekitar 52,000 akaun.

Menurut kenyataan itu lagi, kerosakan pam disebabkan oleh mendapan pasir dan sampah di LRA Kelar turut menyumbang kepada masalah gangguan tersebut. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -