Rakyat lega kerajaan kekal subsidi jemaah haji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jaminan kerajaan bagi mengekalkan subsidi jemaah mengerjakan ibadat haji tahun ini biarpun berlaku kenaikan kos dikenakan kerajaan Arab Saudi, dianggap melegakan rakyat.

- Advertisement -

Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada umat Islam di Malaysia khusus bakal jemaah haji.

Katanya, kerajaan boleh meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama bagi menampung peningkatan tersebut.

“Dengan peningkatan peruntukan berkaitan hal ehwal agama akan dapat membantu bakal jemaah haji tanpa membebankan tambahan kos yang tinggi terhadap mereka,” katanya di sini.

Baru-baru ini Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan tetap akan mengekalkan subsidi kepada jemaah haji biarpun berlaku kenaikan kos dikenakan Arab Saudi susulan pandemik Covid-19.

Katanya, kemungkinan peningkatan kos agak munasabah berdasar situasi semasa, namun subsidi diyakini akan diteruskan oleh kerajaan.

Sebelum ini kos haji kira-kira RM24,000 seorang, namun kerajaan hanya mengenakan sekitar RM9,980 selepas ditampung kerajaan melalui subsidi.

Dr Anuar Shah juga berkata, berdasar perkembangan itu kerajaan wajar mempertimbangkan peruntukan lebih besar kepada JPM (Hal Ehwal Agama) pada Bajet 2022.

Katanya Bajet 2021 memperuntukkan RM1.4 bilion dengan tambahan RM100 juta daripada Bajet 2020 untuk pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam di bawah JPM.

Kata beliau juga berdasarkan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN), tambahan sebanyak RM200 juta diperuntukan kerajaan daripada Bajet 2021.

“Hal ini sangat penting memandangkan sebahagian orang Islam berhadapan dengan masalah ekonomi termasuk kekurangan wang membeli keperluan harian.

“Ia tidak hanya terhad kepada kumpulan umat Islam B40 sahaja, selain itu membabitkan kumpulan M40 termasuk usahawan dan pengguna,” ujarnya.

Menurutnya juga peruntukkan tambahan dapat membantu ekonomi umat Islam di samping membantu pendidikan anak-anak, menjaga kebajikan guru takmir, imam, bilal, siak, noja, marbut, dan guru KAFA.

Dana itu juga dapat membantu agensi di bawah Hal Ehwal Agama antaranya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk meningkatkan ekonomi umat Islam yang terjejas. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -