Jemaah asnaf tajaan Andalusia lakukan Tawaf Wada’

Menara Jam Makkah menunjukkan jam 9.39 pagi pada Sabtu, 6 Jan 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Srihayanis Abasri)
- Advertisement -

MAKKAH: Jemaah asnaf dalam Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 yang ditaja oleh syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan terkenal negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) melakukan Tawaf Wada’.

Mereka yang mesra dipanggil sebagai ibunda dan ayahanda melakukan Tawaf Wada’ seawal jam 8 pagi hari ini, Sabtu (6 Jan).

Program tersebut kini telah memasuki hari yang ketujuh di Kota Makkah, yang merupakan hari perpisahan dan bermulanya langkah perjalanan menuju ke Madinah pada jam 3 petang waktu tempatan.

- Advertisement -

Mutawwif bas kumpulan empat, Ustaz Hendar Muda Nasution Bangun atau mesra dipanggil Ustaz Iskandar Muda berkata, jemaah wajib melakukan Tawaf Wada’ kerana memuliakan dan menghormati Baitullah bagi yang hendak meninggalkan Makkah sejauh dua marhalah (91 kilometer) atau lebih.

“Apabila selesai Tawaf Wada’ disunatkan untuk melakukan solat sunat tawaf dan membaca doa selepas solat dengan penuh sayu dan memohon kepada Allah SWT supaya diberi rezeki untuk datang beberapa kali lagi,” ujarnya ketika memberi ceramah di ruang makan Hotel Al-Olayan Al-Haram, di sini, pada Jumaat (5 Jan).

Beliau juga memberi peringatan, agar para jemaah tidak melengah-lengahkan perjalanan menuju ke hotel kecuali untuk membeli bekalan makanan dalam perjalanan atau sesuatu yang sangat mustahak seperti mengambil barang yang tertinggal.

Selain itu, katanya, bagi jemaah yang sedang berhadas besar adalah tidak diwajibkan untuk melakukan Tawaf Wada’.

“Namun, mereka boleh mengunjungi dataran Masjidil Haram dan melihat Kaabah dari jauh sambil melambai-lambai disertakan niat tanpa melakukan tawaf, berdoa seterusnya segera meninggalkan kawasan tersebut,” katanya.  HARAKAHDAILY  6/1/2024

Jemaah sedang melaksanakan Tawaf Wada’ sebelum berangkat ke Madinah pada hari ini, Sabtu, 6 Jan 2024.
- Advertisement -