Mangsa banjir tidak perlu dokumen mohon Bantuan Wang Ihsan

Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tiada dokumen diperlukan oleh ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara untuk memohon Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Mohd Shahar Abdullah, berkata mereka hanya perlu bertemu ketua komuniti setempat untuk pengesahan.

- Advertisement -

Menurutnya, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan agensi pelaksana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mempermudahkan proses pendaftaran dan dokumen.

Katanya, Perdana Menteri yang amat prihatin kepada mangsa banjir juga membuat kenyataan media pada 20 dan 22 Disember yang memberi komitmen bahawa sesiapa sahaja yang terkesan dengan banjir, sama ada menginap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak, akan menerima BWI.

“Pendaftaran mereka yang menginap di PPS amat mudah kerana sudah ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) di situ.

“Mereka yang tidak menginap di PPS boleh hadir di PPS berdekatan. Jika jauh, boleh mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Komuniti, Ketua Kampung atau Penghulu di tempat masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dato’ Arman Azha Abu Hanifah ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Shahar berkata, ketua komuniti setempat akan menyerahkan maklumat ketua isi rumah kepada Pejabat Daerah yang kemudian diserahkan kepada kerajaan negeri dan akhirnya kepada NADMA untuk penyelarasan bantuan.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Kewangan akan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menyegerakan pengagihan bantuan kepada mangsa terjejas.

Katanya, NADMA juga diminta memantau pengagihan bantuan melalui Jawatankuasa Bencana Negeri sejajar dengan arahan Perdana Menteri untuk menyegerakan pengagihan, manakala kerajaan negeri diminta bekerjasama berbuat demikian.

“Insya-Allah, Kerajaan Pusat dan negeri sentiasa mempunyai hubungan baik bagi menyelesaikan perkara ini dan yang penting mereka yang terjejas mendapat bantuan,” katanya.

Menjawab soalan asal Senator Seruandi Saad, katanya jumlah bantuan tunai langsung kerajaan pada tahun ini adalah RM17.1 bilion disalurkan secara berterusan mulai Januari hingga bulan ini.

Katanya, ini melibatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

“Paling terkini adalah pembayaran BKC Fasa 3 mulai 20 Disember lalu melibatkan 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40 dengan nilai bantuan sebanyak RM300 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.2 bilion ringgit,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/21

- Advertisement -