Tuduhan samakan PAS-Taliban tidak bertanggungjawab

- Advertisement -

DI AKHIR giliran perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja semalam, Ahli Parlimen Stampin membuat tuduhan bahawa PAS akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Taliban hanya kerana kenyataan Presiden PAS yang dilihat menyokong Taliban di Afghanistan. 

Kenyataan yang sama juga pernah dikeluarkan oleh YB Nga Kor Ming beberapa tahun lalu. Saya berpandangan beliau dan kebanyakan yang berpandangan seperti beliau tidak melihat kepada realiti sebenar. 

- Advertisement -

Rujukan ‘Taliban’ itu seolah-olah mereka mahu mengatakan PAS mahu menjadikan Malaysia sebuah negara perang yang mundur, terkebelakang dan tiada wawasan. Mungkin itu gambaran jahatnya. 

Seingat saya sejak PAS bersama Kerajaan Persekutuan, tiada lagi Menteri PAS yang mencadangkan Malaysia menjadi sebuah negara Taliban. Malah, sejak saya berkhidmat sebagai EXCO Kerajaan Negeri Kelantan lebih sepuluh tahun di bawah pentadbiran PAS, tiada juga kedengaran isu Kelantan mahu menjadi seperti Taliban.

Sebelum membuat tuduhan melulu, sebaiknya Ahli Parlimen Stampin tersebut cermin dahulu prestasi Kerajaan PH yang diberikan peluang memerintah selama 22 bulan. Isu Jawi, ICERD, negara bankrap, rusuhan kaum dan sebagainya – naratif yang menggambarkan PH lebih parah daripada Taliban. 

Oleh sebab itu cermin diri terlebih dahulu sebelum berucap. Sekurang-kurangnya ketika golongan Taliban naik sebagai Kerajaan, dengan kemunduran dari segala segi, mereka tidak bercakap bahawa negara itu akan bankrap.

Sekian.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -