Amanat Abu Ubaidah hari ke-200 Taufan Al-Aqsa

- Advertisement -

SEMALAM, saluran TV Al-Jazeera menyiarkan ucapan Abu Ubaidah, jurucakap Briged Al-Qassam dalam perang Taufan al-Aqsa yang sudah masuk hari ke-200.

- Advertisement -

Kemunculan Abu Ubaidah pada hari ke-200 perang genosid ini membawa beberapa pengertian:

i) beliau masih hidup sekalipun peluru berpandu, bom rejim Zionis telah menghancurkan bumi Gaza.

ii) Abu Ubaidah menjadi simbol penting perjuangan terutama dalam perang ini, selain Muhammad Daif, Ismail Haniyyah dan Yahya Sinwar yang hingga kini ‘sangat terselindung’.

iii) beliau bukan sahaja sebagai jurucakap rasmi Briged Al-Qassam, sebagaimana Hagari yang menjadi jurucakap rasmi tentera rejim Zionis, tetapi juga sosoknya yang bertutup muka itu menjadi motivasi, pemberi semangat kepada pejuang lain, sama ada di medan perang di Gaza atau di medan perjuangan masing-masing dari pelbagai aspek.

Dalam ucapannya sekitar 20 minit malam tadi, ada beberapa intipati yang ingin disampaikan:

1. Selepas 200 hari perang Taufan al-Aqsa, musuh yang menjadi penjenayah perang ini masih tidak berjaya mempotretkan wajahnya sebagai wajah yang baik.

2. Musuh masih terhoyong-hayang di tanah gersang Gaza.

3. Musuh tidak dapat ‘menuai’ hasil selain kecewa dan kalah.

4. Selepas 200 hari, pejuang-pejuang kita tetap teguh seteguh bukit-bukit di Palestin.

5. Kami tidak tunjuk dokumentari pejuang serang musuh melainkan hanya sedikit dari pukulan kami yang sebenar kepada musuh.

6. Kami akan terus menentang musuh selama mana musuh masih ada di bumi kami.

7. Tentera penjajah cuba memberi gambaran kepada dunia bahawa ia telah memusnahkan semua kumpulan pejuang dan ini adalah pembohongan besar.

8. Dalam masa 200 hari, musuh tidak mencapai matlamatnya melainkan pembunuhan rakyat awam beramai-ramai, memusnahkan semuanya dan membunuh siapa sahaja.

9. Kami tidak berganjak dari hak kami yang asasi terutamanya pengunduran penuh rejim Zionis dari bumi Gaza, hentikan serangan dan peperangan, hapuskan kepungan terhadap Gaza, benarkan rakyat kembali ke rumah masing-masing.

10. Senario Ron Aarad mungkin berulang kepada tawanan perang lain di Gaza.

11. Bola di kaki musuh sekarang, namun waktu sudah sempit dan peluang tinggal sedikit. (Ayat ini bermaksud terpulang kepada rejim Zionis untuk membuat keputusan segera mengenai dialog tawanan perang dan lain-lain. Jangan biarkan masa berlalu dan anda tetap akan rugi.)

12. Tekanan ketenteraan rejim Zionis tidak menjadikan kami lemah, melainkan terus teguh di atas pendirian kami dan menjaga segala hak kami dan tidak mencuaikannya.

13. Kami berterima kasih kepada usaha ketenteraan yang dibuat bersama-sama Taufan Al-Aqsa ini terutama di Lubnan, Yaman dan Iraq.

14. Tindak balas seperti histeria dari kelompok yang pelbagai terhadap perjuangan di Gaza menunjukkan kepentingan dan kejayaan pejuang di Gaza.

15. Antara kelompok utama yang berjuang ialah di Tebing Barat dan kami mengalu-alukan saudara-saudara kami di seluruh Tebing Barat.

16. Tindakan Iran melalui serangan dron dan peluru berpandu meletakkan dimensi baru perang ini dan menggoncang kekuatan musuh.

17. Kami menyeru seluruh umat ini meningkatkan aktiviti yang menyokong perjuangan ini.

Ucapan Abu Ubaidah ini telah dikupas oleh 4 orang sarjana dalam bidang masing-masing malam tadi di saluran TV Al-Jazeera.

Bagi saya, kupasan itu menggambarkan kehebatan Abu Ubaidah, Briged Al-Qassam dan perjuangan hebat HAMAS membebaskan Gaza dan Palestin dari cengkaman kezaliman rejim syaitan ini. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -