PAS dan Umno padu kekuatan mahu menangi PRU15

- Advertisement -

KUANTAN: Konsensus PAS dan Umno Negeri Pahang mengekalkan status quo untuk menghadapi PRU15 melambangkan hubungan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini, demikian kata Pesuruhjaya PAS, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Menurut beliau, keputusan diumumkan bersama Pengerusi Umno Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu membuktikan keikhlasan persaudaraan kedua pihak semata-mata demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

- Advertisement -

Jelas beliau, ia juga petunjuk kekuatan agenda penyatuan dan perpaduan ummah yang membawa kepada termeterai Piagam MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 14 September 2019 lalu.

“Jika PRU14 dahulu PAS dan Umno adalah dua pihak yang terasing, PRU15 ini sebagai satu pasukan. Seluruh kekuatan umat Melayu-Islam khususnya akan terhimpun bersama menjadi sokongan lebih ampuh.

“Demikian muafakat yang perkasa seperti ini, kita yakin kerusi yang berada di pihak Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dapat berpindah milik kepada MN sekali gus terus menerajui negeri,” ujar beliau.

PAS dan Umno katanya, bukan sahaja perlu menjamin kemenangan majoriti di dua pertiga, tetapi memastikan tiada lagi pembangkang yang membawa haluan berbeza dari Perlembagaan Negara sebagaimana tindakan PH.

Menurutnya, gabungan kedua parti dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU15 kelak akan dapat membawa Pahang ke satu tahap lebih tinggi dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri.

Hal tersebut ulasnya, akan direalisasikan dari pengalaman, kompetensi dan kepakaran sedia ada dari kedua-dua parti sebagaimana keharmonian ditunjukkan penggal pemerintahan pasca-PRU14 ini.

Menurut beliau, penegasan PAS dan Umno Pahang itu adalah selari dengan pendirian Muafakat Nasional di peringkat Pusat yang berusaha menyatu dan memperteguhkan kembali negara ini dari agenda dimeterai.

Adapun pada sudut pendekatan dan strategi politik maklumnya, tindakan dan kepatuhan PAS Pahang tetap tertakluk kepada arahan-arahan semasa PAS Pusat dan ketetapan dasar dari Majlis Syura Ulamak PAS.

Dari sudut jentera akar umbi katanya, sentiasa dalam siap siaga di semua Parlimen dan DUN negeri itu untuk mengekal atau membantu kemenangan sebelum ini serta memenangi kerusi yang berada di pihak pembangkang.

Kedua pihak menegaskan bersetuju bertanding di kerusi dimenangi parti masing-masing pada PRU15 nanti, manakala kerusi di pihak pembangkang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Perunding Kerusi pada mesyuarat Rabu. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -