Pusat data serantau Microsoft kejayaan buat Malaysia

- Advertisement -

GAMIS mengikuti rapat perkembangan Malaysia dalam sektor digital dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan Majlis Pekerjaan Negara kerana berjaya menubuhkan pusat data serantau yang pertama di Malaysia dengan kerjasama syarikat gergasi dunia, Microsoft.

Penubuhan pusat data serantau oleh Microsoft dijangka berupaya menjana pendapatan baharu AS$4.6 bilion (RM19 bilion), selain menyaksikan pelaburan berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

- Advertisement -

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, dijangka sebanyak 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) bakal tersedia di Malaysia. Inisiatif Microsoft bersama Malaysia turut akan memperlihatkan pemerkasaan sehingga 1 juta rakyat Malaysia sehingga akhir 2023. 

Penubuhan pusat data serantau di Malaysia akan menyediakan capaian kepada kemudahan Microsoft Cloud serba lengkap, termasuk Microsoft Azure, yang membolehkan sesiapa saja mereka cipta dengan tujuan khusus menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan meliputi perkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT).

Di samping itu, capaian Microsoft 365 untuk berhubung, bekerjasama, bekerja secara jarak jauh dan belajar dalam talian dengan alat produktiviti inovatif, serta Dynamics 365 serta Power Platform, untuk membina dan menguruskan penyelesaian kritikal yang boleh di skala dengan aplikasi perniagaan pintar turut disediakan. Segala kemudahan ini pastinya akan memberikan manfaat yang besar kepada pelajar khususnya mahasiswa di IPTA dan IPTS. 

Justeru, GAMIS ingin mengajak kepada seluruh mahasiswa di Malaysia agar mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan terutama dalam sektor digital supaya Malaysia mampu berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain di peringkat Antarabangsa.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

ZAKWAN HANIF ABU BAKAR
Pengerusi Jabatan Kajian Dan Intelektual
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2021 – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -