Politik Malaysia bergolak setiap sedekad

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang memperlihatkan politik di Malaysia bergolak setiap tempoh satu dekad.

Pada 1969 Malaysia berdepan dengan peristiwa berdarah 13 Mei yang menyaksikan ramai rakyat menjadi korban ekoran tragedi perkauman.

Sekitar 10 tahun selepas itu iaitu pada 1978 berlaku pergolakan politik di Kelantan sehingga kerajaan PAS tewas kepada Barisan Nasional (BN) yang berganding dengan Berjasa.

- Advertisement -

Kemudian pada 1987 pergolakan melanda Umno pula yang menyaksikan perebutan jawatan presiden antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dan hampir 10 tahun selepas itu Tengku Razaleigh kembali semula ke pangkuan Umno secara en bloc selepas membubarkan Parti Melayu Semangat 46.

Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, gelombang politik di negara kita boleh dikatakan hangat dalam tempoh setiap satu dekad.

Katanya boleh ditafsirkan dalam setiap 10 tahun akan berlaku gelombang politik yang membawa kepada perubahan politik sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

“Contohnya pada 1987 berlaku pergolakan dalam Umno pada Perhimpunan Agung parti itu bagi merebut jawatan presiden antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh.

“Kemudian pada 1998 berlaku lagi pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga mencetus gelombang reformasi.

“Dan pada 2008 Anwar dibebaskan daripada penjara dan mencetus gerakan rakyat bagi menghadapi BN pada Pilihan Raya Umum ketika itu sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN,” katanya di sini.

Menurutnya juga selepas 10 tahun kemudian berlaku lagi pergolakan politik iaitu pada 2018 di mana kerajaan BN gagal dipertahankan pada PRU ke-14.

Bagaimanapun kata beliau teori gelombang politik 10 tahun gagal dipertahankan selepas perubahan drastik berlaku, di mana Pakatan Harapan (PH) yang menguasai negara selepas PRU lepas tumbang lebih cepat.

Kata beliau masalah itu berlaku kerana pertembungan dalaman bagi merebut jawatan perdana menteri.

“Kerajaan PH hanya mampu bertahan 22 bulan kerana persaingan dalaman PH bagi mendesak Dr Mahathir berundur untuk memberi peluang Anwar menduduki kerusi perdana menteri,” ujarnya.

Beliau berkata, perubahan cepat kerajaan ketika itu kerana faktor dalaman di samping pendekatan kerajaan PH yang mendatangkan kegusaran majoriti rakyat. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -