Kalau semua beri pandangan positif, pelabur lebih yakin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim menasihati semua pihak agar memberi pandangan positif terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut berlaku, tentunya prestasi kerajaan akan bertambah baik dan pelabur akan lebih yakin terhadap negara.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang hairan melihat Umno dan BN masih berada dalam kerajaan meskipun menurutnya kerajaan dilihat gagal menguruskan ekonomi dan penularan Covid-19 dengan baik.

“Saya minta bekas bos saya dan kawan baik saya, Dato’ Seri Najib supaya beri pandangan yang positif kepada kerajaan dan mengambil daya usaha bersama untuk menarik pelabur.

“Sebab dia bekas Perdana Menteri, sudah pasti (mempunyai) hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara.

“Jadi (saya minta beliau) bagi sumbangan dalam bentuk yang boleh menggalakkan pelabur datang.

“Kita kena ingat, kalau kita hentam ganti kerajaan baru, kerajaan mana yang kita rasa hebat? Yang boleh menguruskan benda ini, sebab kena ingat sekarang ini bukan masa yang baik untuk semua negara. Saya ingat kerajaan dah buat yang terbaik,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Arau itu, mantan Perdana Menteri Malaysia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Najib Razak, Tun Abdullah Badawi perlu memainkan peranan memberi pandangan yang positif kepada kerajaan selain menggalakkan pelabur-pelabur masuk ke Malaysia.

Namun, sekiranya hal sebaliknya yang dilakukan, pelabur juga tidak akan berani membuat percaturan untuk masuk ke Malaysia.

“Semua pihak kena cari jalan untuk bantu kerajaan, dan kerajaan pula kena bersedia untuk dibantu, jangan kerajaan pula kalau kita nak tolong, tapi buat dak (tak tahu), tak boleh la.

“Kerajaan sekarang ini pun kena bersedia menerima apa-apa bentuk pandangan dan juga cadangan dari pelbagai pihak.

“Saya rasa kerajaan juga patut mengambil pandangan yang lebih positif tentang apa yang telah dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib, Dato’ Seri Najib pun bagi pandangan positif,” ujarnya dalam satu sidang media yang diadakan ketika Majlis Berbuka Puasa Pengerusi PR1MA bersama Media di Putra World Trade Centre (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis sama, Ahli Lembaga Pengarah Harakah, Fauzi Abu Bakar; Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff; anak-anak yatin dan pelajar tahfiz Maahad Al-Quran Ar-Rafiq, Kota Damansara serta kakitangan PR1MA. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -