Konsisten pertahan PN, perkukuh MN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengambil pendirian untuk kekal konsisten mempertahankan Muafakat Nasional (MN), kata Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

Keputusan itu diambil hasil mesyuarat antara dua parti komponen kerajaan itu yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Menurut Ustaz Idris, PAS cukup optimis dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan dalam masa yang sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“Sesiapa sahaja golongan yang boleh menerima tentang agenda perpaduan ummah demi kelangsungan orang-orang Islam dan juga Melayu, maka kita bersedia untuk bersama-sama dalam hal ini.

“Maka dengan itu PAS tetap berpendirian bahawa BERSATU dan juga UMNO mesti kita berganding bahu, kita berusaha memastikan agar tidak berlakunya perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu terutama parti-parti Melayu, lebih-lebih lagi di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).”

Idris berkata demikian kepada HarakahDaily, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerjasama antara MN dan PN.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah jemu memperkukuhkan MN kerana ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang cukup besar untuk dilaksanakan.

“Maka sebab itu tidak timbul soal PAS ini nak menolak mana-mana pihak tapi setakat sekarang ini kita masih lagi bersama-sama untuk memastikan agenda besar perpaduan ummah ini dapat diterima oleh semua pihak,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya yakin dengan kesatuan rakan-rakan politik dalam mengurus perbezaan adalah formula terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat untuk memberi mandat dalam PRU-15.

Pada 19 Februari lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang telah sebulat suara memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Parti itu turut memutuskan, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, menurut sumber, difahamkan terdapat satu lagi syarat yang tidak didedahkan iaitu UMNO di peringkat negeri diberikan autonomi untuk membuat keputusan sendiri.

Badan Perhubungan UMNO Negeri juga boleh menentukan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan untuk menentukan calon Parlimen adalah terletak di bawah kuasa Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -