
KUALA LUMPUR: Reaksi negatif yang ditonjolkan sesetengah pihak di Malaysia berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi disifatkan sesuatu yang tidak adil.
Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa berkata, ini kerana naratif tersebut tidak dilihat dari sudut pandang positif yang mana merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan para pelabur ke Malaysia.
Katanya bagi menempelak tuduhan tidak berasas itu, lawatan itu adalah bagi menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara dalam memastikan jaringan ekonomi dapat berjalan dengan lancar meskipun dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
“Hubungan antara negara (Malaysia-Arab Saudi) mesti terus dibina dan kita menyaksikan kejayaan pertemuan itu antara lain ialah kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.
“Selain itu, hasil persepakatan yang dicapai ialah kuota tambahan untuk jemaah haji ditambah 10,000 lagi yang pastinya berita terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya orang-orang Islam dan ini memudahkan para jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji pada masa-masa akan datang,” katanya.
Ini kerana sebelum ini kerajaan Arab Saudi telahpun membuka pintu buat Malaysia bagi menerima kedatangan rakyat negara ini bagi menunaikan haji sejak 15 November 2020.
Mengikut laman sesawang Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.
Jumlah tersebut meningkat berbanding kuota 30,200 jemaah pada tahun sebelumnya.
Roslan mengulas lanjut, sepanjang setahun pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau melihat secara rapat dan dekat pertumbuhan ekonomi serta pentadbiran PN yang berjaya menangani Covid-19 dengan baik dan lancar.
“Kita lihat bagaimana kerajaan pentadbiran di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan dengan baik dan menghadapi situasi dengan tenang, dalam masa yang sama usaha kerajaan meyakinkan pelabur-pelabur luar dan membina jaringan perlu diteruskan,” ujarnya lagi.
Bagi tambahan kuota haji, permohonan itu dibenarkan ketika Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada hari terakhir lawatan.
Lawatan itu dalam usaha memperkasa hubungan dua hala dengan negara Asia Barat berkenaan membabitkan pelbagai bidang terutama dalam hal ehwal Islam dan perdagangan.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi sejak beliau dilantik pada 1 Mac 2020 atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada April 2020. – HARAKAHDAILY 10/3/2021











