Perkukuh hubungan Malaysia-Arab Saudi bukti kesungguhan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi membuktikan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara berkenaan dan membawanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah, kesediaan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, menerima kunjungan itu menunjukkan tahap hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi yang amat baik dan membanggakan.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Geng Ustaz (GU), Ustaz Kamalulhysham Mohd Suhut berkata, ia satu perkembangan yang sangat positif khususnya kepada sektor ekonomi.

“Pertamanya, dalam suasana pandemik ini Perdana Menteri dapat melihat keadaan semasa di sana khususnya dalam tempoh bagi menghadapi musim haji pasca pandemik Covid-19 agar keadaan haji nanti dapat berjalan dengan lebih baik lagi dengan norma baharu.

“Keduanya, ia merupakan langkah yang cukup positif dalam perkembangan ekonomi yang kita lihat banyak terkesan akibat Covid-19 dan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam mencari ruang-ruang yang baik bagi menjalin kerjasama hubungan dua hala dengan negara berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Mengenai pertemuan antara Perdana Menteri dan Raja Salman secara maya yang dijadikan isu oleh sesetengah pihak di Malaysia, Kamalulhysham berkata, itu merupakan mainan politik biasa yang sering dimainkan pihak pembangkang bagi mencetuskan polemik politik.

Antara perkara penting yang dicapai adalah tambahan 10,000 kuota jemaah haji serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Perkara lain termasuk perbincangan mengenai kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.

Bagi tambahan kuota haji, permohonan itu dibenarkan ketika Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada hari terakhir lawatan.

Malaysia juga menjadi negara pertama disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Memorandum persefahaman mengenai inisiatif itu telah ditandatangani antara kedua-dua negara di istana berkenaan.

Tiga MoU berkenaan mencakupi komitmen kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pengurusan jemaah haji, pembangunan Islam dan dakwah serta majlis kerjasama peringkat Menteri Luar kedua-dua negara.

MoU berkenaan ialah berkaitan penubuhan Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC), kerjasama berkaitan pengurusan jemaah haji yang dinamakan Perkhidmatan Laluan Makkah (Mecca Road Services) dan Hal Ehwal Islam dan Dakwah.

MoU SMCC adalah berkaitan komitmen kedua-dua negara di peringkat Menteri Luar untuk mengadakan perbincangan dan konsultasi secara berkala dalam semua bidang.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein manakala Arab Saudi oleh rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan Al-Saud.

MoU berkaitan pengurusan haji membabitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk memudahkan jemaah Malaysia melakukan ibadah itu daripada aspek imigresen, logistik dan pelepasan.

Secara umumnya, MoU berkenaan bertujuan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara bagi memudahkan kemasukan jemaah haji dan umrah ke Arab Saudi serta apa juga perkara berkaitan ibadah itu.

Di pihak Malaysia, ia turut membabitkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Kewangan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Lembaga Tabung Haji.

Persefahaman yang bakal dipacu sebuah pasukan penyelaras itu akan bermuafakat dalam soal permit, penerbangan, kehendak kesihatan, visa dan penerbangan.

Bagi MoU berkaitan hal ehwal Islam dan dakwah, Malaysia dan Arab Saudi bersetuju bekerjasama dalam bidang berkaitan dakwah dan akidah, latihan akademik serta penyelidikan, masjid dan kebudayaan Islam selain Al-Quran dan Sunnah.

Ia akan dikendalikan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang secara umumnya membabitkan pertukaran ilmu dan maklumat berkaitan bidang berkenaan.

Hishammuddin mewakili Malaysia menandatangani MoU berkenaan manakala Arab Saudi oleh Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Akidah, Sheikh Dr Abdullatif Abdulaziz. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -