Tarif elektrik kekal, rebat 2 sen diteruskan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kadar tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun depan terus kekal seperti yang dinikmati kini termasuk pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj sehingga tempoh Jun 2021. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan, kerajaan bersetuju kadar asas 39.45 sen/kWj itu dikekalkan dan rebat terus dinikmati semua pengguna elektrik.

- Advertisement -

Kerajaan katanya, bersetuju melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh tahun kedua 2020.

Langkah berkenaan jelas beliau, diambil selaras pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) yang memberi faedah penurunan bil antara 3.6 hingga 9.2 peratus kepada 7.5 juta pengguna.

Begitu juga pengguna komersial menurutnya, akan mengalami penurunan bil di antara 4.0 peratus hingga 5.2 peratus, manakala bil bagi pengguna industri pula akan menurun di antara 4.6 hingga 6.1 peratus.

Justeru katanya, pemberian rebat itu diharap kerajaan dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Mekanisme ICPT yang diperkenalkan sejak Januari 2014 adalah sebahagian daripada Kerangka Dasar Penetapan Baharu Tarif Elektrik yang dikenali sebagai IBR di mana ini merupakan kali kelapan rebat diberikan.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Disember 2021,” katanya semalam.

Melalui mekanisme tersebut, pelarasan kadar tarif yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dibuat setiap enam bulan dan dikira berdasarkan kos untuk menjana elektrik.

Kelmarin dahulu, Shamsul mengumumkan bahawa nekalan elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.

Katanya, inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan TNB dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” katanya dilapor Bernama.

Shamsul menjelaskan, pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik COVID-19.

Setakat 31 Oktober lepas, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion, katanya. 

Pakej PRIHATIN dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan telah diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung iaitu diskaun secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong turut memaklumkan bahawa kadar tarif elektrik untuk pengguna domestik dan industri bagi 2021 akan diumumkan minggu ini.

Pada Jun lepas, Shamsul Anuar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -