
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan berkaitan kerjasama politik PAS–BERSATU sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam, 8 Jun.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, keputusan tersebut membuktikan PAS kekal berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dengan mengutamakan kepentingan ummah serta kestabilan politik negara.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat diyakini melalui penelitian mendalam serta berpandukan syura, hukum dan maslahat perjuangan.
“Pemuda PAS Kelantan melihat langkah meneroka bentuk persefahaman politik baharu serta kerjasama pilihan raya sebagai pendekatan matang bagi menghadapi cabaran politik semasa.
“Ia juga bagi memastikan agenda penyatuan ummah terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, seluruh ahli dan penyokong khususnya golongan muda diseru supaya terus memperkukuhkan saf perjuangan, menjaga adab berjemaah dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan parti dalam menentukan hala tuju terbaik demi Islam dan rakyat.
Beliau juga menyatakan bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan turut menyambut baik keterbukaan PAS menerima penyertaan golongan profesional, akademik, aktivis masyarakat serta generasi muda untuk memperkukuhkan perjuangan Islam di negara ini.
“PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi gerakan dakwah dan tarbiah yang membawa penyelesaian Islam untuk semua,” katanya.
PAS secara rasmi, menerusi pengumuman Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan drastik itu dicapai pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, pada malam tadi selepas perbincangan diadakan merangkumi kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2026











