Studio TikTok Shop percuma perkukuh usahawan

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penyediaan dua studio TikTok Shop dengan akses percuma kepada usahawan tempatan menjadi langkah strategik Kerajaan Terengganu dalam mempercepatkan peralihan perniagaan ke arah ekonomi digital.

Kemudahan yang dibangunkan menerusi kerjasama TikTok Shop Malaysia dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu kini dalam proses pengubahsuaian dan dijangka menjadi antara platform utama meningkatkan daya saing usahawan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, studio berkenaan bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bagi menghasilkan kandungan pemasaran yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi.

Menurutnya, inisiatif itu sejajar dengan perubahan corak pengguna yang semakin tertumpu kepada platform digital, khususnya dalam aktiviti pembelian secara dalam talian.

“Apabila siap kelak, studio ini akan diberikan akses percuma kepada usahawan Terengganu sebagai platform untuk mereka memperkukuh jenama dan meningkatkan jualan.

“Ia juga selari dengan perubahan trend pengguna yang semakin cenderung kepada platform digital seperti TikTok Shop,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kursus Program Pemerkasaan Digital Niaga Terengganu TikTok Shop yang menghimpunkan lebih 200 usahawan di negeri ini, baru-baru ini.

Ariffin menyatakan, studio tersebut bukan sahaja menyediakan ruang rakaman, malah turut dilengkapi kemudahan seperti pencahayaan profesional, peralatan penstriman langsung serta sokongan teknikal kepada pengguna.

Katanya, kemudahan berkenaan mampu meningkatkan kualiti persembahan kandungan sekali gus menarik minat pengguna dalam pasaran digital yang semakin kompetitif.

“Selain membantu meningkatkan jualan, inisiatif ini juga dijangka melahirkan lebih ramai pencipta kandungan dalam kalangan usahawan tempatan dan memperkukuh jenama produk Terengganu di peringkat lebih nasional,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan bahawa langkah itu berpotensi memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri menerusi peningkatan aktiviti perniagaan dalam talian serta adaptasi teknologi dalam kalangan usahawan.

“Dengan adanya studio ini, kita mahu melihat lebih ramai usahawan Terengganu tampil berani, kreatif dan kompetitif dalam pasaran digital,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -