ADUN Lanchang hargai usaha baiki jambatan gantung

- Advertisement -

TEMERLOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Hasan Omar berkesempatan meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja membaik pulih jambatan gantung di Kampung Kelubi, pagi tadi. (Foto atas)

- Advertisement -

Menurutnya, projek itu merupakan susulan daripada beberapa lawatan terdahulu.

Beliau berkata, aduan telah dikemukakan serta makluman yang turut dibangkitkan dalam perbahasan sidang DUN Pahang sebelum ini.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembaikan kini sedang berjalan dengan lancar,” katanya menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar penduduk setempat dapat terus memberi kerjasama sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih itu demi memastikan keselamatan dan kelancaran proses.

Hasan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi terlibat serta semua pihak yang telah sama-sama menyuarakan isu kerosakan jambatan itu sebelum ini.

“Semoga usaha ini memberi manfaat kepada seluruh penduduk Kampung Kelubi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam satu hantaran lain, beliau membuat persiapan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15, yang akan berlangsung pada 8 sehingga 15 Mei ini.

“Saya komited untuk terus memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan suara ‘orang Lanchang’ sentiasa dibawa ke dalam sidang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -