
KUALA LUMPUR: Pemotongan bajet Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM571 juta disaat rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit, disifatkan menghina keperitan hidup rakyat marhaen.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, begitu juga RM466 juta yang ditarik dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), juga satu keputusan yang sangat mengecewakan rakyat.
Keputusan itu katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri Kedah, mencerminkan kegagalan kerajaan mengurus negara mengikut keutamaan, malah rakyat menjadi korban.
“Tindakan itu bukan sekadar menangguhkan projek tetapi juga menangguhkan harapan dan masa depan rakyat. Jalan kampung rosak mungkin terus dibiarkan berlubang. Bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman mungkin akan terus bermasalah.
“Projek ekonomi desa seperti agro, koperasi dan perusahaan kecil dijangka akan semakin malap,” ulas beliau menegaskan, apabila pembangunan desa terhenti, secara tidak langsung jurang kaya dan miskin akan semakin melebar.
Bagi rakyat bandar katanya, mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi mereka yang tinggal di desa ia adalah soal survival, sekali gus akan membuatkan anak-anak muda desa berhijrah meninggalkan kampung halaman.
“Begitu juga kesannya kepada pendidikan. Kesan langsungnya akan membawa situasi, sekolah-sekolah daif tidak dapat dinaik taraf, kekurangan guru tidak dapat diatasi.
“Malah program bantuan pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan biasiswa termasuk sokongan pembelajaran berisiko juga akan dikurangkan,” tambah beliau panjang lebar.
Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, situasi seperti itu akan mengakibatkan infrastruktur digital sekolah terbantut, sedangkan dunia bergerak ke arah teknologi.
Tegasnya, mungkin bagi keluarga berada, perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana mampu memilih mana-mana sekolah yang diinginkan, seperti belajar sekolah swasta, mengikuti tuisyen mahal dan sebagainya.
Tetapi keluhnya, bagaimana pula dengan masa depan anak-anak dari keluarga B40 di mana bergantung kepada sekolah kerajaan yang semakin suram.
“Mesejnya jelas, apabila bajet dipotong, bermakna masa depan anak orang miskin baik di desa mahupun bandar seolah-olah bukan lagi keutamaan negara.
“Malah, gabungan dua pemotongan itu pastinya mencipta kesan berantai yang sangat parah. Anak miskin di kampung-kampung akan terus belajar di sekolah daif. Ketidakadilan ini akan membunuh masa depan mereka,” tegasnya lagi.
Menurut Dr Haim, apabila sistem sokongan ekonomi desa lemah dan membawa kepada penurunan pendapatan keluarga, ia berpotensi memaksa anak-anak dari keluarga miskin bekerja lebih awal dari waktu yang sepatutnya.
Situasi itu ujar beliau, akan memberi kesan di mana kitaran kemiskinan akan berulang, dan ia bukan lagi boleh dianggap sebagai isu ekonomi semata-mata tetapi krisis keadilan sosial.
“Persoalannya apakah sebenarnya keutamaan kerajaan? Rakyat berhak bertanya. Mengapa bajet sektor kritikal seperti pendidikan dan pembangunan desa dipotong?
“Ke mana sebenarnya wang negara dibelanjakan? Adakah pembaziran, ketirisan dan projek tidak penting masih diteruskan?” soal beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Kerajaan cakap tak serupa bikin
Tegas Dr Haim lagi, dalam keadaan rakyat disuruh berjimat, pemimpin kerajaan sepatutnya menjadi contoh, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, pemimpin kerajaan dilihat masih bermewah-mewah.
Berikutan itu rakyat katanya, tidak boleh hanya berdiam diri sebalik perlu melakukan sesuatu menuntut hak sewajarnya sebagai warganegara yang perlu dijamin keutamaan oleh kerajaan.
“Gerakkan kempen nasional di media sosial dengan naratif berfakta. Gunakan suara kolektif seperti dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, guru, pemimpin masyarakat, agar isu ini tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.
“Ahli Parlimen juga mesti bangkit membawa usul khas menolak pemotongan ini. Tekanan bipartisan bersama dan merentas parti perlu diwujudkan demi rakyat.
“Desak pendedahan terperinci perbelanjaan kerajaan. Kenal pasti pembaziran dalam projek mega yang tidak kritikal dan ketirisan yang mungkin berlaku. Potong pembaziran, bukan potong masa depan rakyat,” cadang beliau.
Kerajaan juga disarankan agar mengurangkan projek ‘kosmetik’ seperti Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat, menelan belanja RM18.6 bilion.
Juga desaknya, kerajaan perlu menangguhkan dahulu semua projek mega yang tidak mendesak khususnya yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan NGO, juga disarannya agar bersatu menyuarakan kesan sebenar di lapangan dan buktikan kepada kerajaan bahawa pemotongan ini bukan teori tetapi realiti yang menyakitkan.
“Rakyat wajar bangkit. Jangan biarkan masa depan kita ditentukan oleh pemerintah berfikiran kapitalis. Apabila bajet pendidikan dipotong, kita tidak sekadar kehilangan wang tetapi kehilangan generasi.
“Apabila pembangunan desa dihentikan, kita tidak sekadar kehilangan kemudahan tetapi kita menguburkan harapan dan potensi masyarakat luar bandar.
“Ini bukan isu kecil. Ini adalah soal maruah rakyat dan masa depan negara,” tambah Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Keusahawan PAS itu lagi.
Justeru kata Dr Haim, jika rakyat diam maka lihatlah nanti kesannya kepada anak-anak di esok hari.
Rakyat di luar bandar dan rakyat biasa tidak pernah minta kemewahan tetapi yang mereka mahukan hanyalah keadilan dan ruang untuk hidup bermaruah. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











