AS gagal capai segala objektifnya di Selat Hormuz

- Advertisement -

TEHRAN: Seorang komander kanan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata Amerika Syarikat telah gagal mencapai objektifnya mengenai Selat Hormuz walaupun telah menggerakkan semua keupayaannya semasa dan selepas perang pencerobohan 40 hari terhadap Iran.

Bercakap tentang perkembangan serantau terkini, Timbalan Komander Hal Ehwal Politik IRGC, Jeneral Yadollah Javani menegaskan bahawa AS sedang menggunakan semua kuasanya dalam konfrontasi dengan Iran tetapi akhirnya akan mengalami kekalahan.

- Advertisement -

“Masalah utama Presiden AS, Donald Trump hari ini ialah membuka semula Selat Hormuz,” tegasnya.

Tambah beliau hawa Washington telah berusaha sedaya upaya semasa perang 40 hari menentang Iran dan selepas itu untuk menyelesaikannya tetapi gagal memperoleh keputusan positif.

“Trump sama sekali tidak mampu memutar masa kembali kepada keadaan yang wujud sebelum 28 Februari 2026 (hari pertama AS-Zionis Israel menyerang Iran) atau mengubah keadaan semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dilaporkan Tasnim mengecam rancangan AS untuk campur tangan di Selat Hormuz yang dilabelkan Washington sebagai ‘Projek Kebebasan’ (Project Freedom), tetapi disindir Araqchi dengan melabelkannya sebagai sebagai ‘Projek Kebuntuan (Project Deadlock).

Beliau juga memberi amaran bahawa inisiatif AS itu hanya akan memperdalam ketegangan dan mengheret Washington ke dalam satu lagi masalah serantau.

Dalam mesej yang disiarkan di akaun X beliau pada hari Selasa, Araqchi berkata perkembangan terbaru di Selat Hormuz menunjukkan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk krisis politik.

“Peristiwa di Hormuz menjelaskan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk krisis politik.

“Memandangkan rundingan sedang mencapai kemajuan dengan usaha Pakistan yang baik hati, AS harus berwaspada agar tidak diseret kembali ke dalam masalah oleh pihak yang tidak berniat baik.

“‘Projek Kebebasan’ AS ialah sebenarnya ‘Projek Kebuntuan’,” tegas kata Araqchi.

Terdahulu, pada Isnin, Panglima Markas Pusat Khatam al-Anbia Iran, Mejar Jeneral Ali Abdollahi memberi amaran bahawa mana-mana pasukan tentera asing, terutamanya AS, akan diserang jika ia cuba mendekati atau memasuki Selat Hormuz.

“Kami akan memelihara dan mengurus keselamatan Selat Hormuz dengan penuh keupayaan, menasihati semua kapal komersial dan kapal tangki minyak untuk menahan diri daripada sebarang percubaan untuk melalui Selat Hormuz tanpa penyelarasan dengan Angkatan Tentera (Iran) yang ditempatkan di sana agar tidak membahayakan keselamatan mereka,” katanya.- HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -