
MARANG: Seramai 17 usahawan komuniti di Kampung Jenang menerima pelbagai bentuk bantuan sebagai sokongan untuk terus bangkit dan mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi Program Jejak Usahawan Komuniti Daerah Marang sempena Hari Pekerja 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh keupayaan usahawan mikro di peringkat akar umbi melalui bantuan kebajikan serta penyediaan peralatan perniagaan yang lebih produktif.
Menurutnya, daripada jumlah penerima itu, 12 usahawan menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi beras serta barangan keperluan dapur bagi meringankan beban kos sara hidup, sementara lima lagi dibantu dengan peralatan perniagaan seperti mesin uli tepung, peti sejuk beku, mesin gerudi serta dapur tiga pembakar.
“Bantuan ini bukan sekadar meringankan beban, tetapi sebagai suntikan semangat dan motivasi kepada para usahawan kecil untuk terus berdaya tahan dan meningkatkan produktiviti.
“Saya yakin, dengan sokongan yang berterusan, mereka mampu pergi lebih jauh dan menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Turut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Beliau berkata, usaha memperkukuh keusahawanan mikro penting kerana ia menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi setempat.
“Bantuan ini diharap dapat membantu mereka bangkit semula, memperkemas operasi dan seterusnya mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, program turun padang itu juga membolehkan kerajaan negeri menilai keperluan sebenar usahawan sebelum merangka bentuk bantuan yang lebih bersasar dan berkesan pada masa akan datang.
“Program turun padang seperti ini amat penting untuk kita memahami sendiri cabaran sebenar yang dihadapi oleh usahawan, seterusnya memastikan setiap bantuan yang disalurkan lebih bersasar dan memberi impak,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Alur Limbat, kerajaan negeri terus komited dalam membantu golongan usahawan mikro yang merupakan antara nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi komuniti.
“Semoga para penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sebaiknya dan terus melangkah maju dalam perniagaan masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











