
KUALA NERUS: Isu kos pengeluaran padi yang semakin meningkat menuntut penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur rantaian industri beras negara, termasuk mekanisme penetapan harga lantai padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, ketidakseimbangan antara kos pengeluaran dan pulangan kepada pesawah perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kelestarian sektor berkenaan.
“Kos mengerjakan sawah padi pada masa ini dianggarkan mencecah RM5,500 bagi setiap hektar, merangkumi kos membajak, pembelian benih, racun, penggunaan jentuai, pengangkutan dan perbelanjaan sampingan yang lain.
“Mengambil kira purata hasil sehektar sawah sekitar 3.5 metrik tan, ini bermakna kos untuk menghasilkan satu tan padi adalah kira-kira RM1,500.
“Apabila harga lantai padi sekarang kekal pada RM1,500, apa yang tinggal untuk pesawah selepas segala penat lelah mereka? Boleh dikatakan mereka seolah-olah hanya mendapat pahala kerana berkorban memberi rakyat makan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Bersama Pesawah Padi Kuala Nerus di Pertubuhan Peladang Kawasan Maras, Batu Rakit, di sini semalam.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, penambahbaikan tidak hanya tertumpu kepada harga lantai semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan semakan terhadap kos input, kecekapan mekanisasi serta pengurusan rantaian bekalan.
Menurutnya, pendekatan bersepadu diperlukan bagi memastikan setiap pihak dalam rantaian termasuk pengusaha jentera, pengilang, pemborong dan pengguna memperoleh manfaat secara lebih seimbang.
“Petani tidak mengharapkan keuntungan luar biasa atau mahu menjadi kaya-raya, namun sekadar menuntut sedikit ruang untuk terus bertahan dalam industri tersebut.
“Kita mahukan rantaian pengeluaran ini dilihat secara menyeluruh. Adalah tidak wajar sekiranya beban berat ini diletakkan sebahagian besarnya ke atas bahu pesawah semata-mata.
“Semua pihak termasuk operator jentera, pengilang, pemborong dan pengguna perlu berada dalam situasi menang-menang,” jelasnya.
Beliau berkata, isu berkenaan telah dibawa ke peringkat perbincangan lebih tinggi memandangkan penetapan harga padi berada di bawah bidang kuasa pihak berautoriti di peringkat Persekutuan.
“Isu ini perlu diteliti sebaiknya oleh pihak yang mempunyai autoriti. Kita telah suarakan perkara ini agar ada tindakan segera demi menjaga kebajikan para pesawah kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











