
OSLO, Norway: Satu kontroversi berunsur perkauman telah mencetuskan gelombang kecaman di Norway selepas seorang penasihat politik yang dikaitkan dengan Parti Kemajuan (Progress Party, FRP) membuat kenyataan yang dianggap menghina komuniti berketurunan Pakistan di negara itu.
Insiden berkenaan terbongkar selepas stesen penyiaran Norway, TV2 menyiarkan rakaman yang menunjukkan penasihat kepada Ahli Parlimen FRP, Simen Velle, iaitu Harek Hansen, mengeluarkan kenyataan kontroversi ketika berada di sebuah bar di Oslo.
Dalam rakaman tersebut, Hansen didakwa menyatakan bahawa ‘orang kulit putih yang berjaya’ seharusnya mempunyai lebih ramai anak, manakala individu berlatar belakang Pakistan ‘berada di bawah purata’ dan tidak sepatutnya menambah bilangan keluarga mereka.
Kenyataan itu segera mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di seluruh spektrum politik Norway, dengan ramai pemimpin menyifatkannya sebagai bersifat rasis dan tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, turut mengkritik keras kenyataan tersebut dan menuntut penjelasan daripada parti berkenaan.
Ketua Parti Kemajuan, Sylvi Listhaug, pada awalnya dilihat mengelak daripada mengulas secara langsung isu tersebut. Namun, tekanan politik yang semakin meningkat memaksanya akhirnya menjauhkan parti itu daripada kenyataan Hansen, sambil menegaskan bahawa ia bertentangan dengan dasar serta ‘nilai asas kemanusiaan’.
“Tiada ruang untuk ekspresi perkauman seperti ini,” katanya, sambil menambah bahawa siasatan dalaman akan dijalankan.
Hansen kemudian dilaporkan memohon maaf dan menyifatkan kenyataannya sebagai ‘bodoh dan akibat mabuk’, namun permohonan maaf itu gagal meredakan kemarahan orang ramai, lebih-lebih lagi kerana kenyataan tersebut telah dirakam secara terbuka.
Insiden ini turut mendedahkan jurang ketara antara imej arus perdana FRP dan retorik sebahagian individu dalam lingkaran mereka.
Parti itu sebelum ini cuba memperluaskan sokongan dengan pendekatan lebih sederhana, namun kekal tegas dalam isu imigresen.
Listhaug sendiri pernah menerima kritikan atas kenyataan berkaitan integrasi, termasuk gesaan agar pendatang Muslim menyesuaikan diri dengan norma Norway seperti meminum alkohol dan memakan daging babi ketika beliau masih berkhidmat sebagai menteri.
FRP kekal antara parti utama yang memperjuangkan dasar imigresen lebih ketat di Norway, termasuk had kemasukan dari rantau tertentu seperti Timur Tengah, Afrika dan Asia. Isu imigresen serta Islam terus menjadi antara tema utama dalam politik negara itu.
Norway yang mempunyai kira-kira 5.6 juta penduduk, menempatkan komuniti Muslim sekitar 3.4 peratus, termasuk antara 40,000 hingga 48,000 individu berketurunan Pakistan. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











