
KUALA TERENGGANU: Umno dilihat tidak mengambil peluang politik yang wujud di Negeri Sembilan sebelum ini untuk membentuk pentadbiran berasaskan majoriti Melayu-Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, situasi ketika itu memperlihatkan ruang perubahan kerajaan sekiranya berlaku penyusunan semula kerjasama politik dalam kalangan wakil rakyat.
Beliau menegaskan bahawa ketika krisis politik berlaku di negeri berkenaan, terdapat jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu-Islam yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu jika ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti terlibat.
“Ketika krisis Negeri Sembilan berlaku, terdapat 14 ADUN Umno yang beragama Melayu Islam. Jika dicampur dengan lima ADUN PAS dalam Perikatan Nasional, jumlahnya menjadi 19 ADUN Melayu Islam, sekali gus kita boleh membentuk kerajaan.
“Tiba-tiba Anthony Loke buat sidang media, panggil Menteri Besar, jumpa dengan Zahid Hamidi. Anthony Loke kata, Zahid Hamidi tak akan bubar. Tak akan keluar daripada kerajaan.
“Sepatutnya masa itulah satu peluang untuk Umno membuktikan bahawa dia adalah parti Melayu masih lagi tegar, masih lagi memperjuangkan tentang hak dan kedaulatan orang Melayu. Tapi Umno telah mensia-siakan peluang itu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, keputusan Umno untuk kekal dalam kerjasama sedia ada menimbulkan persoalan terhadap konsistensi naratif perjuangan parti berkenaan.
“Kita tengok pada hari ni baru kita sedar bahawa rupanya go solo ke, rumah bangsa ke, penipu belaka. Sebab memang boleh Umno keluar kerajaan. Memang boleh jatuh Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan dengan krisis-krisis yang berlaku.
“Tapi Umno telah mensia-siakan peluang itu, rela duduk bersama DAP daripada menubuhkan kerajaan yang seratus peratus Melayu Islam. Dah nak harap apa lagi kepada Umno?,” soalnya.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan kesemua 14 ADUN Umno-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Tindakan tersebut didakwa dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati serta dipertahankan tanpa campur tangan politik.
Bagaimanapun, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan terbaru menjelaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sebaliknya keputusan di peringkat pusat menetapkan bahawa 14 ADUN Umno di negeri tersebut akan terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











