
KUANTAN: Sebanyak 11 batang tiang lampu solar telah siap dipasang selepas simpang empat Cherok Paloh, di sini sehingga Jambatan Tanjung Gosong. (Foto atas)
Menurut Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor, beliau meninjau lokasi tiang lampu solar itu pagi tadi sebelum singgah di Masjid Cherok Paloh untuk solat jenazah.
“Alhamdulillah, dah siap dipasang,” ujarnya ringkas menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada JKR cawangan Elektrik Pahang yang menyelia projek itu.

Katanya, pada Oktober tahun lepas, beliau telah membaca usul Kamar Khas Parlimen berkaitan keadaan gelap di laluan itu yang turut menyebabkan kemalangan jalan raya.
Menurutnya, usul yang dibawa dalam Kamar Khas Dewan Rakyat itu dengan tajuk ‘Laluan Jalan Raya Gelap Di Kampung Cherok Paloh’.
Jelasnya, laluan yang dimaksudkan pada laluan persekutuan FT438 selepas simpang empat Cherok Paloh sehingga Jambatan Cherok Paloh.
Beliau berkata, laluan itu dengan jarak kira-kira 2.3 kilometer sangat gelap dan tidak dipasang lampu jalan.
Tambahnya, ada kes kemalangan jalan raya terlanggar haiwan yang berkeliaran dan melintas jalan.
Menurut beliau lagi, berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, permohonan itu dalam pertimbangan untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan dalam program akan datang pada tahun 2026.
Wan Razali turut mencadangkan pemasangan pepaku jalan sebagai panduan kepada pengguna jalan raya di laluan ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas projek pemasangan lampu jalan yang telah disiapkan di beberapa lokasi lain pada laluan berkenaan termasuk di Kampung Cempaka, Kampung Sepat, Kampung Kuala Penor dan Kampung Ubai. – HARAKAHDAILY 5/5/2026











