
JOHANNESBURG, Afrika Selatan: Mangsa pertama wabak hantavirus sudah meninggal dunia selama 21 hari di atas kapal persiaran apabila seorang penumpang lain, Jake Rosmarin, menyiarkan video tentang lembu-lembu yang dilihatnya di sebuah pulau gunung berapi terpencil di Lautan Atlantik, tanpa menunjukkan sebarang petunjuk bahawa dia sedar kapal persiaran yang dinaikinya, M/V Hondius akan dikuarantin.
Namun kemudian pada petang itu, pada tarikh 2 Mei 2026, Rosmarin menyiarkan kenyataannya dalam videonya yang berbaur cemas.
“Bagi mereka yang telah melihat berita terkini, ya, saya kini berada di atas kapal M/V Hondius. Saya tidak mahu berkata lebih lanjut, ‘kerana menghormati mereka yang terlibat,” katanya.
Keesokan harinya, dengan kapal tersebut terkandas di luar kepulauan Cape Verde dan enggan membenarkan kesemua penumpang dan anak kapalnya diturunkan, Rosmarin memuatnaik video wajahnya yang kelihatan sedih.
“Apa yang berlaku sekarang adalah sangat nyata bagi kita semua. Kami bukan sekadar tajuk utama.
“Kami insan yang mempunyai keluarga, dengan nyawa, dengan orang yang menunggu kami di rumah. Apa yang kami mahukan hanyalah berasa selamat dan pulang ke rumah,” ucapnya dengan suara bergetar ketika tatkala menahan air mata, lapor Reuters.
Itu berlaku dua hari selepas Rosmarin berkongsi kegembiraannya melihat seekor Burung Wilkins Finch yang diancam kepupusan di Pulau Nightingale.
Ratusan terperangkap di atas kapal
Kira-kira 150 orang masih terkandas di atas kapal itu, yang telah melawat beberapa tempat paling terpencil di Bumi, termasuk Tristan da Cunha, sebuah pulau di selatan Atlantik antara Argentina dan Afrika Selatan tempat Rosmarin merakam lembu-lembu itu.
Tiga orang di atas kapal , pasangan suami isteri warga Belanda dan seorang lelaki warga Jerman telah disahkan meninggal dunia di atas kapal berkenaan dikaitkan dengan wabak hantavirus.
Rosmarin bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan netizen untuk memberi komen melalui mesej teks mengenai perkembangan terkini di atas M/V Hondius, tetapi catatannya merupakan pandangan yang jarang berlaku tentang suasana di kapal persiaran berkenaan.
Penumpang pertama yang mengalami kecederaan, lelaki Belanda itu, berusia 70 tahun meninggal dunia pada 11 April 2026, ketika kapal itu menuju ke Tristan da Cunha.
“Mayatnya kekal di atas kapal sehingga 24 April, apabila ia ‘diturunkan di St Helena, bersama isterinya yang mengiringi penghantaran pulang,” kata jurucakap pengendali M/V Hondius, Oceanwide Expeditions, dalam satu kenyataan pada hari Isnin, 4 Mei.
Tambah kenyataan itu, tiga hari selepas mangsa pertama meninggal dunia, isterinya, 69, pula juga jatuh sakit dan kemudian meninggal dunia, manakala seorang lagi penumpang, seorang warga Britain, 69, sakit tenat dan dipindahkan secara perubatan ke Afrika Selatan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Afrika Selatan telah mengesahkan bahawa pesakit British itu, yang sedang dirawat di hospital Johannesburg, diuji positif hantavirus, manakala pihak berkuasa Belanda telah mengesahkan virus berkenaan telah menyerang wanita Belanda yang meninggal dunia itu yang merupakan mangsa kedua.
Pelayaran M/V Hondius diteruskan ketika kematian bertambah
Terdahulu, menurut dokumentasi Oceanwide Expeditions, kapal M/V Hondius telah meninggalkan Ushuaia di selatan Argentina sekitar bulan Mac 2026 dalam pelayaran yang dipasarkan sebagai ekspedisi alam semula jadi Antartika, dengan kos dikenakan kepada setiap penumpang antara USD16,000-USD25,000).
Ia mengembara melepasi tanah besar Antartika, Falklands, Georgia Selatan, Pulau Nightingale, Tristan, St Helena, dan Ascension sebelum sampai ke perairan Cape Verde pada 3 Mei.
Pada 1 Mei, chef kapal Khabir Moraes menyiarkan video gembira tentang dirinya dan rakan-rakan sekerja berenang di lautan dari sebuah sampan getah, kapal persiaran itu berlabuh di latar belakang.
“Hari ini (1 Mei 2026) sangat menyenangkan dan kedalaman lautan adalah 4,700 meter,” katanya, mengulas dalam video tentang rakan-rakan sekerjanya yang ketawa ketika mereka menariknya kembali ke sampan.
Mores tidak segera memberi respons kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan komen yang dihantar melalui mesej teks. Reuters tidak dapat memastikan sama ada beliau menyedari kematian tersebut sebelum beliau membuat catatannya.
Keesokan harinya itulah, mangsa ketiga disahkan Oceanwide Expeditions sebagai telah meninggal dunia, sambil menambah bahawa puncanya masih belum dapat dipastikan dan penumpang itu warganegara Jerman.
Kenyataan Oceanwide Expeditions menegaskan bahawa pihak berkuasa kesihatan Cape Verde belum lagi memberikan kebenaran untuk pemindahan perubatan kapal dan pemeriksaan penumpangnya.
Ia kini sedang mempertimbangkan untuk belayar ke Las Palmas atau Tenerife untuk tujuan ini.
Sebagai rujukan,menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hantavirus terutamanya disebarkan oleh tikus tetapi boleh berjangkit antara manusia dalam kes yang jarang berlaku.
Memandangkan kebimbangan semakin meningkat di Afrika Selatan, lokasi M/V Hondius telah berlabuh pihak berkuasa kesihatan negara itu berkata penduduk tempatan tidak perlu bimbang tentang virus yang merebak di darat.
Sementara, pihak berkuasa Cape Verde juga mengeluarkan kenyataan untuk menenangkan kebimbangan, dengan mengatakan bahawa memandangkan kapal itu kekal di laut, ‘pada masa ini tiada risiko kepada populasi di darat’. – HARAKAHDAILY 5/4/2026




















