Kebajikan rakyat, pembangunan perlu seimbang

Huzaini Rohani
- Advertisement -

SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna menegaskan bahawa isu hak Sabah, kebajikan rakyat dan pembangunan seimbang perlu ditangani secara menyeluruh demi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terus terpelihara.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertuanya, Huzaini Rohani berkata, perkara itu yang diketengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dalam persidangan DUN, baru-baru ini mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya ia wajar dijadikan asas penilaian semula terhadap hala tuju pembangunan negeri.

“Kemajuan sesebuah negeri tidak boleh hanya diukur melalui pencapaian statistik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyediakan kemudahan asas berkualiti seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, pendidikan dan kesihatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Dr. Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri pada persidangan DUN tersebut.

Tambahnya, kegagalan menyelesaikan isu kemudahan asas di banyak kawasan membuktikan jurang pembangunan masih ketara dan memerlukan tindakan segera serta berkesan.

“Bagi pihak PAS kawasan, kami menegaskan bahawa tuntutan hak Sabah khususnya berkaitan agihan hasil negeri perlu ditangani secara tegas kerana ia melibatkan soal keadilan fiskal dan keupayaan negeri merancang pembangunan sendiri,” ujarnya.

Selain itu, katanya isu kos sara hidup, harga rumah dan penempatan tidak terancang turut disifatkan sebagai cabaran utama yang memerlukan dasar perumahan lebih inklusif dan berpihak kepada rakyat tempatan.

“Kami menyeru kerajaan negeri dan Persekutuan agar mengambil langkah lebih serius, strategik dan berani bagi memastikan pembangunan Sabah dilaksanakan secara adil, seimbang dan berteraskan kepentingan rakyat,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2026

- Advertisement -