PN sedia tunai tuntutan RM3,000 harga lantai padi

Sekiranya menerajui negara PRU16

- Advertisement -

POKOK SENA: Gerakan himpunan menuntut hak pesawah dan petani perlu diteruskan dalam skala lebih besar bagi menunjukkan kesungguhan rakyat berkaitan hal ini, demikian saran Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perhimpunan tersebut perlu ditukar kepada Himpunan Bangkit Pesawah, agar lebih mendapat perhatian.

“Kalau kita masih dengan nama Himpunan Aman Pesawah, tak ada orang yang akan dengar. Selepas ini, tak mahu dah sebut Himpunan Aman tetapi perlu adakan himpunan untuk bangkitkan semangat pesawah dan rakyat,” kata.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS mempunyai pengalaman pada himpunan rakyat Baling dan Sik, pada tahun 1974 dahulu.

Takiyuddin menegaskan, selepas Himpunan Aman Pesawah di Kampung Setol ini, akan ada tiga lagi himpunan menuntut hak yang sama.

Pada Jun depan maklumnya, akan diadakan Himpunan Bangkit Pesawah di Baling mengambil sempena himpunan perarakan rakyat di situ, suatu ketika dahulu.

Kemudian disusuli himpunan perarakan ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan kemudiannya pada 22 Jun, himpunan terbesar akan digerakkan menuju ke Parlimen Malaysia.

“Kita berarak ke PMO, kalau tak bagi masuk, kita rempuh juga. Kalau Perdana Menteri dan Menteri tak mau tunggu kita di Parlimen, kami Ahli Parlimen Pembangkang akan menunggu tuan-puan semua,” tegas beliau lagi.

Justeru pemimpin kerajaan diingatkan agar tidak ‘main-main’  dengan rakyat kerana kebangkitan rakyat mampu mengubah perkara yang tidak dijangka.

Sebagai contoh ujarnya di Sri Lanka, bagaimana Perdana Menteri dihumbankan ke dalam sungai, begitu juga di India, ada pemimpin yang dibogelkan oleh rakyat.

“Kita sebut perkata ini kerana pemimpin Kerajaan Malaysia yang ada hari ini, satu masa dahulu, kononnya, menjadi hero rakyat. Sanggup bergelumang dengan rakyat.

“Kalau dahululah, himpunan sebegini dibuat tentulah kita melihat kelibat orang-orang tertentu yang kini berada dipuncak pentadbiran negara dan menjadi orang nombor satu dalam negara ketika ini, turut sama terlibat.

“Itulah susuk tubuh yang dahulu berguling-guling atas jalan raya bersama rakyat, tapi apabila menjadi pemimpin, mereka melakukan perkara sebaliknya.

“Dulu merekalah hero penoreh getah, hero pesawah, hero buruh kasar, hero nelayan, tapi sekarang mereka dah lupa tanggungjawab terhadap rakyat,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena Himpunan Aman Pesawah yang  menuntut kenaikan harga lantai padi RM3,000 satu tan metrik dan isu ‘Fleet Card’ petani, di Kampung Alor Setoi, di sini semalam.

Takiyuddin pada ucapan itu, turut berkongsi keberanian seorang menteri iaitu Allahyarham Tan Sri Musa Hitam di mana sanggup hadir pada himpunan di Baling dahulu, walaupun dilontar dengan ubi gadong dan ubi kayu oleh rakyat yang hadir pada masa itu.

“Tetapi berbeza dengan menteri kerajaan sekarang, bukan kata hendak datang berjumpa petani, petani nak pergi jumpa dia pun dia tak mahu,” tambah beliau.

Katanya lagi, tiada sebab bagi kerajaan untuk menafikan tuntutan para petani tersebut, sedangkan ketika PN menerajui Putrajaya selama lebih daripada dua tahun, hak rakyat tertunai walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 ketika itu.

Kerajaan waktu itu jelasnya, mampu memperuntukan lebih daripada RM500 billion dengan pelbagai pakej rangsangan untuk membantu rakyat.

Ujarnya, demi kesihatan, ekonomi, kos sara hidup dan lain-lain, kerajaan ketika itu terus berusaha untuk kebajikan rakyat, selain memastikan ada makanan di atas meja untuk dimakan oleh rakyat.

“Itulah rangka kerja kerajaan masa itu. Oleh sebab itu, kita yakin tidak ada alasan untuk kerajaan yang ada kini, mengatakan mereka tidak ada duit, untuk memberi subsidi diesel kepada rakyat terutama kepada petani.

“Kalau kerajaan tak boleh tolong, buat apa jadi kerajaan. Kita faham PM dan Menteri Pertanian tahu apa yang kita sedang adakan hari ini. Dulu musim COVID-19 pun kita boleh berkhidmat sebaiknya untuk rakyat.

“InsyaAllah kalau PN jadi kerajaan selepas PRU16 ini, tidak ada alasan, untuk kami memenuhi tuntutan rakyat pesawah. Terutama harga lantai padi yang tidak jauh beza, sekarang ni RM1,500 kepada RM3,000,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, apabila bantuan dan harga yang stabil diberikan kepada petani, sudah pasti aktiviti penanaman padi akan lebih produktif dan akan membawa  pulangan kepada kerajaan.

“Harga lantai padi RM3,000 itu, kami (PN) boleh bagi akujanji dalam manifesto PRU16 nanti dan akan laksanakan dan ditunaikan dengan izin Allah,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -