
MACHANG: Usaha memelihara alam sekitar terus diperkukuh apabila Kerajaan Negeri Kelantan komited menyokong pelbagai inisiatif penghijauan demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan generasi akan datang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, kempen penanaman pokok perlu diperkasa melalui penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk masyarakat setempat.
“Alam sekitar yang terpelihara merupakan asas penting kepada kesejahteraan hidup serta kelangsungan generasi akan datang. Justeru, usaha menghijaukan bumi perlu terus diperkasa secara berterusan dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Local Agenda 21 (LA21) Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertemakan ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ di Jajahan Machang, di sini, hari ini.
Dalam program sama, beliau turut merasmikan View Point Hutan Simpan Kekal (HSK) Chabang Tongkat yang dijangka menjadi satu lagi tarikan baharu di daerah berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Machang serta rakan kolaborasi yang berjaya menjayakan program berkenaan dengan komitmen tinggi.
“Usaha seperti ini membuktikan bahawa semangat menjaga alam sekitar terus subur dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, sehingga kini Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah merekodkan lebih 137 juta pokok ditanam di seluruh negara melibatkan pelbagai spesies yang memberi manfaat besar kepada ekosistem.
Tambahnya, tanggungjawab memelihara alam sekitar bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif semua pihak.
“Melalui program ini, masyarakat turut diberi peluang menyumbang secara langsung melalui penanaman anak pokok dan benih yang disediakan,” ujarnya.
Beliau berkata, penanaman pokok bukan sahaja membantu mengurangkan kesan cuaca panas dan menyeimbangkan pelepasan karbon, malah meningkatkan kualiti udara serta mencantikkan kawasan.
“Ia juga mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala usaha dan kerjasama yang dilaksanakan akan terus memberi manfaat berpanjangan serta mencapai objektif yang disasarkan demi kesejahteraan generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 4/5/2026




















