
POKOK SENA: Kerajaan dituntut agar mewujudkan solusi baharu bagi menangani isu pesawah di mana terbelenggu dengan kenaikan kos operasi yang teruk, bukannya memainkan naratif insentif 2024 seolah-olah masalah tersebut telah diselesaikan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, sekarang ini petani berhadapan dengan masalah yang lebih teruk dengan kenaikan harga diesel dan kerajaan perlu melihat semula tuntutan petani ini secara holistik.
Termasuk katanya, tuntutan harga lantai bermaruah, RM3,000 satu metrik tan dan ‘fleet card’ kepada tanaman padi bagi mendapatkan bekalan diesel pada harga subsidi.
Walaupun sekarang ujarnya, sudah memasuki bulan Mei, namun proses penanaman masih belum boleh dimulakan selagi isu utamanya iaitu kos operasi tidak menemui jalan penyelesaian.
“Sebelum ini, Menteri Ekonomi umum kepada petani untuk bantuan BUDI Agri-komoditi, dan BUDI Mysubsidi Diesel. Kami alu-alukan tetapi syarat-syarat yang dikenakan memungkinkan pesawah gagal mendapat manfaatnya.
“Antara syaratnya, pendapatan mestilah RM50,000 ke atas, nak kad perakuan kenderaan berusia 10 tahun kebawah, pesawah mana ada kenderaan berusia 10 tahun ke bawah.
“Kalau yang dapat pun, dari jumlah 200,000 pesawah, dalam seorang dua sahaja, itupun mungkin dia ada perniagaan lain. Kalau buat bendang rasanya tak mampu tepati syarat itu,” katanya agak kesal.
Jelas Abdul Rashid lagi, sebelum ini Kementerian Kewangan telah mengumumkan kenaikan harga pembajakan daripada RM160 kepada RM300, tetapi jumlah itu masih tidak boleh menampung kos dua putaran tanah bendang yang menelan kos hampir RM1,400.
“Jumlah RM300 dengan RM1,400 tu jurangnya sangat besar.
Sekarang ini kami terpaksa tanggung sendiri kos dua putaran itu dan tak tahu pula bila kerajaan akan bayar,” katanya lagi.
Perkara itu diluahkan beliau ketika ditemui media pada Himpunan Aman Petani, Tuntutan Harga Lantai Padi dan Isu ‘Fleet Card’, yang diadakan Kampung Setol, di sini semalam.
Maklumnya lagi, para pesawah tidak cemburu dengan kelebihan yang diperolehi oleh nelayan dan penanam sayur atas jaminan
harga diesel secara subsidi.
Tetapi yang menghairan pihaknya, para petani hanya menerima pemberian diesel 20 liter selain perlu memohon permit khas, berbanding nelayan dan penanam sayur yang mendapat permit khas secara pukal sebanyak 50 liter.
“Nak makan protein banyak ka atau nak makan sayur banyak? Antara sayur dengan beras, mana yg lebih penting nak makan?” soal beliau melepaskan kesalan di hati.
Dalam masa yang sama tegasnya, pesawah juga turut menuntut agar penyelarasan diesel yang diumumkan pada 2024 lalu, dibayar segera kerana sehingga kini, ia belum ditunaikan walaupun sudah menjangkau dua tahun.
“Sebelum ini pada 2024, kerajaan umum penyelarasan diesel RM50 sehektar untuk penuaian padi. Sekarang ini satu hektar kosnya sudah meningkat ke RM875.
“Jumlah RM50 dengan RM875, sangat besar, itu pun tak bayar lagi sampai sekarang…tu sebab petani marah. Umum 2024, bayangkan dah berapa musim dan dah berapa tahun.
“Itu sebab bagi kami isu yang pesawah tuntut ini ada alasan yang kukuh,” jelasnya selain tuntutan ‘fleet card’ pada 2024, juga belum dipenuhi.
Pihaknya dimaklumkan, penyelarasan diesel akan ditunaikan bermula Januari 2025, sedangkan kenaikan harga bahan bakar itu telah berlaku pada 2024.
“Petani kena keluarkan duit sendiri sekarang ini. Naratif yang dibawa oleh kerajaan seolah-olah masalah petani telah diselesaikan, perlu diperbetulkan kepada rakyat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/5/2026











