Selat Hormuz: ‘Rancangan AS langgar gencatan senjata’

- Advertisement -

TEHRAN: Seorang penggubal undang-undang kanan Iran telah memberi amaran bahawa sebarang penglibatan Amerika Syarikat dalam menguruskan perkapalan melalui Selat Hormuz akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata, sekaligus menolak peranan Washington yang dicadangkan di laluan air tersebut.

- Advertisement -

Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Negeri parlimen Iran,  Ibrahim Azizi berkata, sebarang campur tangan AS dalam rejim maritim baharu Selat Hormuz akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.

Dalam satu catatan di platform syarikat media sosial X, beliau memuatkan kenyataanya yang menolak idea bahawa laluan air itu boleh diarahkan oleh Washington, dengan mengatakan Selat Hormuz dan Teluk Parsi tidak akan diuruskan oleh Presiden AS.

“Tiada siapa yang akan mempercayai senario ‘Blame Game’!” tegasnya.

Kenyataan itu menyusuli komen Trump pada Ahad bahawa AS akan bertindak untuk mengiringi kapal-kapal yang terkandas di Selat Hormuz keluar dari laluan air yang terhad.

Dalam satu catatan di platform Truth Socialnya, Trump menyifatkan langkah itu kononnya sebagai ‘isyarat kemanusiaan’ yang bertujuan untuk membantu negara-negara neutral yang tidak terlibat dalam perang AS-Israel ke atas Iran.

“Demi kebaikan Iran, Timur Tengah dan Amerika Syarikat, kami telah memberitahu negara-negara ini bahawa kami akan membimbing kapal mereka dengan selamat keluar dari laluan air yang terhad ini,” tulisnya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) dilaporkan sebagai berkata pasukannya akan mula menyokong apa yang didakwanya sebagai ‘Project Freedom’ bermula pada 4 Mei, kononnya untuk memulihkan kebebasan navigasi untuk perkapalan komersial melalui Selat Hormuz. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -