
KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan pengurusan kes yang berlangsung hari ini berkaitan permohonan difailkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah selesai dengan beberapa arahan lanjut daripada mahkamah.
Menurut beliau, sebelum ini pihak Anwar Ibrahim telah memfailkan satu permohonan di bawah Enclosure 186 bagi membolehkan beberapa soalan awalan dijawab terlebih dahulu.
Beliau berkata, susulan arahan mahkamah terdahulu, pihaknya telah memfailkan afidavit jawapan di bawah Enclosure 188 bagi membantah permohonan tersebut berdasarkan arahan anak guamnya, Muhammed Yusoff Rawther.
“Dalam afidavit itu, kami telah menggariskan sebab-sebab bantahan, antaranya tempoh masa yang terlalu lama sejak tindakan ini difailkan pada Julai 2021 sehingga kini yang hampir memasuki Julai 2026, iaitu sekitar lima tahun, namun kes masih belum berjalan,” katanya.
Tambah beliau, mahkamah menerima pemakluman bahawa afidavit bantahan telah difailkan dan diserahkan kepada pihak peguam Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Rafique turut memberitahu mahkamah telah mengarahkan pihak defendan memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 25 Mei 2026.
Selain itu, katanya lagi kedua-dua pihak turut diarahkan memfailkan hujahan bertulis, masing-masing pada 25 Jun 2026 dan jawapan balas pada 24 Julai 2026.
“Mahkamah juga menetapkan 4 Ogos 2026 sebagai tarikh pendengaran penuh bagi permohonan ini, iaitu selepas semua hujahan bertulis difailkan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara kandungan permohonan tersebut termasuk dakwaan bahawa kejadian yang dikaitkan pada 2 Oktober 2018 tidak berlaku, serta usaha untuk membuktikan perkara berkenaan di mahkamah.
Selain itu, terdapat juga permohonan lain termasuk cadangan supaya prosiding tertentu dijalankan secara tertutup daripada media.
Dalam masa sama, isu berkaitan tempoh had masa kes sivil selama enam tahun turut dijangka menjadi antara perkara yang akan dihujahkan oleh pihak-pihak terlibat pada pendengaran nanti.
“Semua perkara ini akan dihujahkan sepenuhnya di hadapan hakim pada 4 Ogos 2026,” katanya terhadap pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bersambung dengan pendengaran permohonan pada tarikh telah ditetapkan.
Terdahulu, kes sivil ini difailkan oleh bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Muhammed Yusoff pada Julai 2021 terhadap Dato’ Seri Anwar berhubung kes salah laku yang dikatakan berlaku pada 2 Oktober 2018.
Pada peringkat awal, kes ini menarik perhatian umum kerana melibatkan tokoh politik tertinggi negara serta dikatakan agak serius, sekali gus menimbulkan perdebatan dari sudut perundangan dan politik.
Sepanjang tempoh hampir lima tahun sejak difailkan, kes ini melalui beberapa peringkat pengurusan dan permohonan ‘interlocutory’ tanpa perbicaraan penuh dimulakan, menjadikan isu kelewatan serta had masa perundangan sebagai antara perkara penting yang kini dipertikaikan.
Pendengaran pada 4 Ogos 2026 dijangka menjadi penentu awal sama ada permohonan yang dikemukakan akan dibenarkan, sekali gus memberi kesan kepada hala tuju perbicaraan penuh kes berkenaan. – HARAKAHDAILY 4/5/2026











