Mahu kerajaan ‘do more’, bukannya bersikap FOMO

Penganjuran ‘Disko Hujan’ sensitif, tidak sesuai

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan disaran memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh nilai tempatan dan cara hidup masyarakat Islam, berbanding terikut-ikut dengan trend luar atau pendekatan ‘fear of missing out’ (FOMO) dalam merangka dasar serta penganjuran acara hiburan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, Islam sebagai agama Persekutuan dan dianuti majoriti rakyat bukan sekadar agama, tetapi merupakan satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.

Menurut beliau, dalam konteks kehidupan seharian, umat Islam berpegang kepada peraturan yang jelas termasuk batas pergaulan antara lelaki dan wanita, kewajipan menutup aurat serta mengelakkan hiburan berlebihan.

“Bagi orang Islam, sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah tidak dibenarkan. Sebab itu apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pemimpin wanita, ada dalam kalangan masyarakat yang berasa kurang selesa.

“Begitu juga soal aurat, wanita Islam dituntut menutup aurat manakala lelaki tidak dibenarkan berpakaian melepasi batas tertentu seperti berseluar pendek di atas lutut. Ini semua adalah sebahagian daripada menjaga kehormatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan, namun menetapkan batas agar tidak melampaui sehingga membawa kepada perkara yang melalaikan.

Katanya, kebanyakan umat Islam masih menonton filem dan mendengar muzik, termasuk dari Barat, namun hiburan seperti di kelab malam atau disko dilihat sebagai melampau dan tidak selari dengan nilai tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa penganjuran program seperti ‘Disko Hujan’ baru-baru ini merupakan sesuatu yang sensitif dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Menurut beliau lagi, perkara itu berlaku kerana masih terdapat pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang kurang memahami sensitiviti asas berkaitan cara hidup umat Islam.

“Program seperti ini diteruskan atas alasan muzik dan tarikan pelancong, tetapi meniru konsep luar seperti di Thailand. Sedangkan bagi umat Islam, batas pergaulan, penjagaan aurat dan larangan hiburan berlebihan adalah penting untuk memelihara maqasid syariah khususnya dari segi nasab, maruah dan akal,” katanya.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS menegaskan bahawa pendekatan tersebut sepatutnya menjadi antara hala tuju dalam kerangka Kerajaan Madani.

Tambah Dr Yusfarizal lagi, gesaan itu bukan bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara yang menolak semua bentuk hiburan, sebaliknya mahu membentuk sebuah negara Timur yang sopan, berbudaya tinggi dan menghormati nilai tempatan.

“Kita mahu prinsip Rukun Negara khususnya ‘kesopanan dan kesusilaan’ benar-benar diterjemahkan dalam dasar dan tindakan. Kita juga mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi tinggi akhlak, budaya, hospitaliti dan keilmuan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar kerajaan tidak menggantikan keunikan produk tempatan dengan budaya luar hanya kerana mahu mengikut trend semasa.

“Kita tidak mahu kerajaan bersikap FOMO, sebaliknya kita mahu kerajaan ‘do more’ daripada sekadar bercakap kerana masih banyak potensi tempatan yang boleh diketengahkan sebagai tarikan,” katanya.

Isu penganjuran acara hiburan berunsur hedonistik kembali menjadi perdebatan apabila beberapa program berkonsepkan pesta air dan muzik seperti ‘Rain Rave’ atau ‘Water Music Festival’ mendapat kritikan pelbagai pihak.

Penganjuran acara seumpama itu dilihat meniru festival luar seperti Songkran di Thailand yang sering dikaitkan dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat serta suasana hiburan melampau yang tidak selari dengan norma masyarakat tempatan.

Dalam beberapa perbahasan di Dewan Negeri Selangor sebelum ini, wakil rakyat turut membangkitkan keperluan kerajaan menyeimbangkan aspek pembangunan ekonomi dan pelancongan dengan pemeliharaan nilai budaya serta sensitiviti agama.

Malah, beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan turut menyuarakan kebimbangan bahawa kecenderungan mengangkat hiburan tanpa batas.

Ramai melihat ia boleh memberi kesan kepada pembentukan sahsiah generasi muda serta imej negara sebagai sebuah negara Islam yang berbudaya Timur. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -