Pemukiman SkimPAS 2026 pacu sasaran 35,000 ahli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sasaran mencapai 35,000 keahlian Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) tahun ini menjadi fokus utama dalam Pemukiman SkimPAS 2026, kata Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

- Advertisement -

Menurut beliau, program berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan serta penyelaras dari seluruh negara bagi memperkukuh hala tuju dan menyelaras gerak kerja SkimPAS secara lebih tersusun serta berkesan.

“Sepanjang program berlangsung, perbincangan tertumpu kepada perancangan strategik dan pelan tindakan bagi merealisasikan sasaran 35,000 ahli.

“Pemukiman ini juga menjadi platform penting untuk menyelaras standard operasi, memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap negeri bergerak dalam kerangka yang sama bagi mencapai sasaran ditetapkan.

“Antara fokus utama termasuk memperkukuh strategi pemasaran digital, menambah baik sistem portal serta menangani cabaran pelaksanaan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Pemukiman SkimPAS 2026 yang berlangsung di Pejabat Agung PAS, di sini kelmarin.

Program tersebut dimulakan dengan sesi pembentangan oleh Pengurus Besar SkimPAS, Noor Hanim Ismail yang menekankan kepentingan peranan penyelaras sebagai penghubung utama antara perunding di lapangan dan pihak pengurusan pusat.

Menurut beliau, amanah tersebut menuntut tahap tanggungjawab yang tinggi, kecekapan dalam penyampaian maklumat serta integriti dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Abdul Razak Mohamed yang menyeru semua pihak agar terus komited dalam memperkasa SkimPAS demi manfaat ummah.

“Program ini diharap dapat memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus mengangkat SkimPAS ke tahap lebih cemerlang dalam memperluaskan jaringan kebajikan kepada masyarakat,” katanya.

SkimPAS merupakan inisiatif kebajikan yang digerakkan bagi menyediakan perlindungan dan manfaat kepada ahli, khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kematian serta sokongan kepada waris.

SkimPAS adalah skim patuh Syariah yang menggunakan konsep Wakalah dan Tabarru’ iaitu sumbangan atau derma melibatkan daripada ahli PAS kepada ahli PAS.

Sejak diperkenalkan, skim ini menjadi antara instrumen penting dalam memperluaskan jaringan kebajikan PAS kepada masyarakat, selaras dengan pendekatan parti yang menekankan kesejahteraan ummah. – HARAKAHDAILY 4/5/2026

- Advertisement -