
POKOK SENA: Penderitaan mangsa-mangsa ribut di Kampung Tualang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Dato’ Wan Romani Wan Salim.
Kunjungan beliau yang turut disertai pemimpin PAS Kawasan Pokok Sena, sedikit sebanyak dapat meringankan beban perasaan mangsa kejadian atas ujian diberikan Allah itu.
Kejadian menjejaskan dua rumah di kampung berkenaan berlaku ketika penduduk kampung sedang bergotong-royong menyediakan juadah untuk jamuan di masjid berhampiran pada esoknya.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dan penghuni di kedua-dua rumah yang terlibat, selamat.
Pada lawatan dan kunjungan itu, selain menyampaikan sumbangan, beliau turut menzahirkan rasa simpati dan mengharapkan mangsa-mangsa kejadian bersabar dengan uji tersebut.

Walau bagaimanapun, jumlah kerugian kerosakan berkenaan belum dikenal pasti.
Menurutnya, pihak beliau akan membuat pantauan untuk bantuan seterusnya sekiranya perlu, bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Pada program yang lain, mantan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu, bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, turun padang menziarahi beberapa rumah di Kampung Terong Asam.
Mereka yang dilawati antaranya warga emas uzur serta diuji dengan masalah kesihatan.
Selain bertanya khabar dan beramah mesra, mereka juga turut menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan atas masalah yang dihadapi. – HARAKAHDAILY 29/4/2026




















