13 kampung dilanda ribut, 141 rumah rosak di Pendang

- Advertisement -

PENDANG: Sebanyak 144 buah rumah terkesan serta mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang berlaku, lewat petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6:00 petang itu membabitkan 11 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, manakala dua kampung di DUN Tokai.

- Advertisement -

Antara terjejas teruk iaitu di Kampung Bakar Arang, Mak Insun melibatkan 43 rumah, diikuti Kampung Baloh (22), Kampung Pulau Machang, Lahar Batu (19), Paya Kerchut (16) dan Kilang Kechik, dan Bukit Jambul, masing-masing (10).

Sementara lain-lainnya, Kampung Paya Nedam luar (2), Kampung Sagor (8), Kampung Paya Mengkuang (2) Kampung Sungai Jagung (1) dan Kampung Rimau, tiga rumah.

Manakala di sebelah DUN Tokai, membabitkan Kampung Banggol Kambing tiga dan sebuah rumah di Kampung Kobah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman bergegas ke beberapa kampung yang terlibat, malam kejadian untuk meninjau perkembangan kejadian tersebut, manakala dua kampung lagi pada pagi semalam.

“Alhamdulilah tiada kemalangan jiwa walaupun kesan kejadian agak teruk kerana kebanyakannya bumbung diterbangkan angin dan ada rumah yang dihempap pokok.

“Cuma ada seorang yang cedera di kaki dan telah mendapat rawatan di hospital,” jelasnya ketika ditemui, semalam.

Walau bagaimanapun katanya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan mangsa-mangsa kejadian kebanyakannya menumpang di rumah saudara mara.

Dalam pada itu, terdapat sebahagian yang tinggal di rumah sendiri, di bahagian tidak terjejas dengan kejadian tersebut.

“Kita ada beri sumbangan awal seperti pek makanan dan minta yang terlibat laporan polis dan bawa salinan laporan itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM).

“Saya harap mangsa yang terlibat dapat bersabar dengan ujian ini,” tambah beliau.

Menurut Dato’ Dr Hayati lagi, Pendang antara kawasan yang sering menerima musibah dan bencana alam, sama ada banjir mahupun ribut.

Sebelum ini ujarnya, kampung yang sering terkesan, antaranya Kampung Rambai, Alor Ali dan Tokai, tetapi kali ini tiga kampung itu terselamat.

“Selalunya antara musim kemarau nak bertukar ke musim hujan, tiga kampung ini kerap kali akan dilanda ribut. Tetapi kali ini tiga kampung itu tidak terlibat tetapi ribut melanda di tempat lain pula,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ketua Pengarah Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Ustaz Nurul Amin Hamid untuk menyampaikan sumbangan.

Khidmat Malaysia turut mengoperasikan membantu kepada mangsa-mangsa ribut dan akan memberi keutamaan dahulu kepada tiga rumah terjejas teruk akibat kejadian ribut berkenaan. – HARAKAHDAILY 29/4/2026

- Advertisement -